Selasa, 22 Januari 2019 | 3:34pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Group Development Bhd, Datuk Chang Khim Wah. Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Group Development Bhd, Datuk Chang Khim Wah. Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon.

Kempen HOPE EcoWorld bantu beli rumah idaman

KUALA LUMPUR: EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) memperkenalkan kempen HOPE, program pemilikan rumah sebagai usaha membantu orang ramai memiliki rumah idaman.

HOPE menawarkan dua kaedah bagi pembeli untuk membeli rumah iaitu STAY2OWN (S2O) menerusi kerjasama dengan Maybank Houzkey dan HELP2OWN (H2O) yang berdasarkan gadai janji.

Kempen berkenaan akan dijalankan dalam tempoh enam bulan sehingga 30 Jun ini bagi pelbagai pilihan projek hartanah kediaman oleh EcoWorld Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah, berkata kempen HOPE boleh menyokong pertumbuhan syarikat dengan lebih baik pada tahun ini.

Beliau berkata, pada kempen #OnlyEcoWorld selama empat bulan pada Julai hingga Oktober tahun lalu dengan konsep H20, ia berjaya merekodkan jualan sehingga RM2 bilion.

“EcoWorld Malaysia yakin untuk mencapai jualan sehingga RM6 bilion bagi tempoh dua tahun bermula 2019 hingga 2020 berdasarkan kepada prestasi semasa syarikat.

“Menyedari keperluan individu khususnya golongan muda untuk memiliki rumah, kami mengambil inisiatif untuk memperkenal kempen HOPE sebagai penyelesaiannya.

“Selain itu, kami mengambil kira pelbagai aspek seperti pasaran gadai janji dan tercetusnya konsep S20 bersama Maybank HouzKEY dan EcoWorld,” katanya pada majlis pelancaran kempen HOPE di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi EcoWorld Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham.

Di bawah S2O, Maybank akan menjadi perantara kepada proses pemilikan hartanah dengan membeli kediaman dan kemudian memajakkannya kepada bakal pembeli.

S2O adalah adaptasi daripada produk HouzKEY yang ditambah baik serta penambahan pelbagai ciri baharu dalam kerjasama antara dua pihak itu.

Khim Wah berkata, HOPE adalah penyelesaian pemilikan kediaman yang lengkap dan komprehensif terutama kepada golongan milenial kerana hanya membabitkan kos permulaan yang rendah.

“Antara ciri yang terdapat pada S2O adalah kos deposit pemulaan dan bayaran bulanan yang rendah serta masuk dahulu bayar kemudian.

“Program ini bukan saja memberi manfaat kepada golongan muda tetapi kepada individu yang mahu menaik taraf kediaman mereka,” katanya.

Berita Harian X