Ahad, 17 Februari 2019 | 3:33pm
Cai Tung (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada Khim Wah (tiga dari kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian EcoWorld Malaysia dengan Dun-Qian Intelligent Hotel Management Co Ltd (Dun-Qian) di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

EcoWorld sedia kediaman pintar pertama di Malaysia

ISKANDAR PUTERI: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mencatat sejarah tersendiri sebagai pemaju hartanah pertama di Malaysia yang menyediakan kediaman pintar.

Menerusi projek perintis di pangsapuri perkhidmatan Eco Nest, di Eco Botanic, di sini membolehkan pelanggan merasai pengalaman kemudahan kediaman sepenuhnya automatik bermula daripada kaunter daftar masuk layan diri sehingga kepada sistem pesanan makanan menggunakan robot.

Usaha itu direalisasikan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani EcoWorld Malaysia dengan penyedia penginapan pintar dari Taiwan, Dun-Qian Intelligent Hotel Management Co Ltd (Dun-Qian), di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah, berkata mengambil kira aspek inovasi dan teknologi, pihaknya teruja dengan Eco Nest menjadi pembangunan pertama yang menyediakan kemudahan penginapan pintar.

“Ia akan memberi manfaat dan pengalaman berbeza buat penduduk di Eco Nest dan menjadi projek perintis terbaik buat Dun-Qian untuk melangkah lebih jauh dalam pasaran pelancongan di Malaysia.

“Dun-Qian akan menandatangani pajakan 50 unit kediaman, termasuk premis perniagaan di Menara A dan C membabitkan kira-kira tiga unit robot bagi fasa permulaan projek ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di Eco Nest di Eco Botanic di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung; Pengerusi Dun-Qian, Vincent Yeh; Ketua Pegawai Eksekutif Dun-Qian, Sam Wu dan Pengurus Besar Bahagian EcoWorld, Datuk Hoe Mee Ling.

Menerusi kerjasama perkongsian teknologi itu, mereka yang menginap di pangsapuri perkhidmatan itu hanya perlu memasukkan kod rujukan pada mesin di kaunter daftar masuk sebelum kad atau kunci bilik dikeluarkan alat berkenaan.

Pelanggan yang memesan makanan daripada sistem pesanan sedia ada juga hanya perlu menunggu robot khas yang akan menghantar makanan terus ke bilik atau kediaman mereka.

Berita Harian X