Rabu, 20 Februari 2019 | 2:37pm
PENGARAH Ibn Corp, Datuk Seri Michael Yang (lapan dari kanan) bergambar bersama pada majlis pecah tanah pembangunan bangunan residensi tertinggi Kuala Lumpur di Jalan Berangan, Bukit Bintang. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

IBN Bukit Bintang bangunan ikonik terbaharu KL

KUALA LUMPUR: IBN Corp Ltd (IBN Corp), syarikat hartanah berpangkalan di Hong Kong mengukuhkan pelaburan hartanahnya di Malaysia menerusi projek terbaharu, IBN Bukit Bintang yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.

Pengarahnya, Datuk Seri Michael Yang, berkata projek berkenaan merangkumi pembinaan hotel dan unit residen 68 tingkat dengan ketinggian 325 meter.

“Pembangunan itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan kos pembangunan dianggarkan berjumlah RM600 juta hingga RM650 juta.

“IBN Bukit Bintang adalah pembangunan bercampur bertaraf dunia dan berpotensi. Ia bakal menyumbang kepada salah satu tarikan pelancong di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah IBN Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Bangunan 68 tingkat itu dibina di kawasan seluas 730,062 kaki persegi di kawasan strategik dan berdekatan dengan bangunan ikonik, Menara Berkembar Petronas.

Sebaik siap, IBN Bukit Bintang bakal muncul sebagai satu daripada lima bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.

IBN Bukit Bintang juga adalah inisiatif projek hartanah dengan kerjasama antara IBN Corp Ltd dan KKH Pavilion Development Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Yang berkata, IBN Corp menjangkakan projek berkenaan akan menerima sambutan baik dalam kalangan pembeli tempatan dan pelabur luar berikutan lokasinya yang strategik serta berpotensi membawa pulangan pada masa depan.

“Sebaik siap sepenuhnya, kami menyasarkan 70 peratus pembelian unit residen terdiri daripada pembeli tempatan, manakala bakinya daripada pelabur luar seperti Asia Barat, China dan India,” katanya.

Beliau berkata, IBN Bukit Bintang bukan hanya menjadi tarikan pelancong tetapi membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia serta meningkatkan gaya hidup masyarakat tempatan dan mencerminkan kepelbagaian budaya.

Selain IBN Bukit Bintang, IBN Corp juga katanya bakal melancarkan satu lagi projek hartanah ikonik, di Kota Kinabalu, Sabah pada suku ketiga tahun ini.

IBN Corp sudah menjalankan beberapa projek di Asia Tenggara dan menubuhkan hab perniagaan serantau di Malaysia dengan beberapa anak syarikat berpangkalan di China, Singapura dan Malaysia.

Sehingga ini, syarikat berkenaan memiliki projek dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM20 bilion dan akan terus memperkukuhkan kedudukannya menerusi projek utama di IBN Highlands City, Genting Highlands.

Berita Harian X