Selasa, 2 April 2019 | 4:59pm
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Cagamas Berhad, Chung Chee Leong (empat dari kiri) bertukar dokumen dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kewangan Perumahan Korea, Jung Hwan Lee (empat dari kanan) sambil disaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour (tiga dari kiri). - NSTP/Rosela Ismail

'Perlu proaktif urus isu rumah mampu milik'

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tunggal untuk perumahan mampu milik perlu proaktif dan strategik menguruskan isu berkenaan di negara ini, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan dan pemaju juga perlu bekerjasama untuk mengurangkan kos pembinaan rumah.

"Menangani isu rumah mampu milik memerlukan kita menjadi kreatif, proaktif dan holistik dalam penyelesaian. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen dari semua pihak yang terbabit - pembuat dasar, sektor swasta, pemaju dan orang awam.

"Ia tidak akan mudah, tetapi perlu bagi kita untuk membina masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk keluarga, tetapi untuk generasi masa depan," katanya pada pembukaan Persidangan Membina dan Pembiayaan Rumah Mampu Milik Merentasi Asia di sini, hari ini.

Persidangan selama dua hari itu dianjurkan secara bersama oleh Cagamas Bhd dan Bank Dunia.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, institusi kewangan juga memainkan peranan penting dalam pasaran perumahan melalui penyediaan pembiayaan.

Beliau berkata, peranan pengantaraan yang berkesan oleh institusi kewangan adalah sama penting untuk pasaran perumahan berfungsi dengan baik.

"Dalam penyediaan pembiayaan, institusi kewangan perlu memastikan bahawa mereka memberi pinjaman kepada mereka yang layak, berkemampuan dan mampu membayar balik.

"Institusi kewangan perlu melindungi kepentingan awam dengan memastikan bahawa pembeli tidak meminjam melebihi kemampuan mereka dan terjerumus ke dalam kesulitan kewangan," katanya.

Menyentuh mengenai unit hartanah kediaman tidak terjual, Abdul Rasheed berkata, perangkaan terkini menunjukkan kira-kira 171,000 unit rumah kediaman tidak terjual.

Beliau berkata, kira-kira 74 peratus daripada jumlah unit hartanah tidak terjual itu berharga melebihi kemampuan rakyat biasa negara ini untuk memilikinya.

Berita Harian X