Khamis, 11 April 2019 | 6:28pm

Sunway Velocity TWO dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: Sunway Property mencatatkan 85 peratus jualan bagi 872 unit kediaman projek Sunway Velocity TWO.

Kejayaan Sunway Velocity TWO menyusuli kejayaan unit kediaman Sunway Velocity yang menyaksikan penjualan semua 1,000 unit yang ditawarkan.

Sunway Velocity TWO adalah pembangunan empat menara kediaman RM2 bilion, dua menara komersial dan unit runcit yang dihubungkan dengan pembangunan bersepadu Sunway Velocity yang menampilkan Sunway Velocity Mall seluas 1.4 juta kaki persegi, taman seluas dua ekar dan 890 unit komersial.

Sunway Velocity TWO akan menjadi pembangunan yang mendapat persijilan Hijau RE, termasuk pencahayaan tenaga dan takungan hujan.

Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah Sunway Bhd, Chong Sau Min, berkata kejayaan Sunway Velocity TWO adalah reka bentuk pembangunan dan keselesaan yang ditawarkan oleh orientasi transit serta alam sekitar bersepadu.

“Pembeli tertarik dengan Sunway Velocity TWO kerana akses dan kemudahan lokasinya. Bagi yang mahu tinggal di situ, keselesaannya begitu ketara, pembangunan ini dihubungkan dengan tiga stesen MRT dan dua stesen LRT, selain lebuh raya utama dan kemudahan lain.

“Bagi pelabur, mereka tertarik dengan reka bentuk kunci berkembar unit-unitnya yang berpotensi menjana pulangan sewa lebih tinggi.

“Kami baru saja membuka Sunway College di Velocity tang mempunyai kapasiti 3,500 pelajar dan menyasarkan untuk membuka hospital 240 katil di dalam pembangunan itu tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X