Selasa, 2 Julai 2019 | 3:15pm

Sasaran 100,000 rumah mampu milik setahun kurang realistik

PETALING JAYA: Sasaran untuk membina 100,000 rumah mampu milik setahun dianggap kurang realistik, demikian menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Naib Presidennya, Datuk N K Tong, berkata pemaju sama ada daripada kerajaan mahupun swasta berdepan dengan pelbagai kekangan bagi menyiapkan sesuatu pembangunan.

“Setiap pembangunan yang dijalankan perlu menjalani proses tertentu seperti mendapatkan kelulusan pembinaan, pemilihan lokasi strategik dan pada masa sama memastikan penyediaan unit kediaman berkualiti dengan harga mampu milik.

“Semua proses itu memerlukan satu tempoh masa dan perancangan yang baik. Jadi, penanda aras untuk memenuhi permintaan purata 100,000 rumah mampu milik setahun mungkin tidak dapat dicapai.

“Dari segi praktikalnya, tempoh pelaksanaan bagi satu-satu pembangunan akan mengambil masa antara tiga hingga empat tahun,” katanya ketika ditemui selepas sidang media mengumumkan Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Mapan Bertaraf Dunia (WCSC) 2019, di sini, hari ini.

WCSC 2019 yang bertemakan ‘NEXT:KL2040’ bakal diadakan di Kuala Lumpur, pada 19 September ini.

Bagaimanapun Tong berkata, matlamat kerajaan untuk menyediakan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun mampu dicapai jika ada penyelesaian yang mencukupi.

“Kerajaan sudah berusaha sebaik mungkin bagi mencapai sasaran berkenaan dengan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan terutama kementerian, pemaju, persatuan pembeli rumah serta badan kerajaan lain yang berkaitan.

“Kita perlu beri kerajaan baharu ini masa dan jika ia dapat diselaraskan dengan baik, sasaran itu mampu dicapai,” katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menerusi Kad Laporan Projek Pantau edisi keduanya dipetik sebagai berkata, sebanyak 30 peratus daripada 224 sub-janji dalam Buku Harapan telah tercapai atau berada di landasan tepat.

Bagaimanapun, terdapat beberapa projek yang berada dalam masalah antaranya cadangan menamatkan monopoli oleh syarikat seperti Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selain cadangan kerajaan untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dengan purata 100,000 unit setahun.

IDEAS berkata, rancangan membina sejumlah rumah berkenaan dianggap tidak jelas dan tidak disebut dalam dasar perumahan baharu.

Berita Harian X