Isnin, 15 Julai 2019 | 6:53pm
Ibu negara perlu lengkapkan 30 peratus persediaan untuk capai sasaran. - Arkib NSTP

KL mampu capai status bandar bertaraf dunia lebih awal

Wilayah metropolitan, Kuala Lumpur mampu mencapai status bandar bertaraf dunia menjelang 2029, lebih awal daripada sasaran pada 2040.

Presiden Institut Perancangan Malaysia (MIP), Ihsan Zainal Mokhtar, berkata Kuala Lumpur kini ditetapkan ke arah perancangan masa depan baharu menerusi ‘Pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040’.

“Melangkah ke hadapan, Kuala Lumpur akan berdepan cabaran daripada pelbagai perspektif antaranya perubahan demografik, cuaca, gangguan teknologi dan kekurangan ruang tanah.

“Mengikut sasaran, Kuala Lumpur dijangka mampu mencapai bandar berkelas dunia pada 2040, tetapi jika kita komited untuk melakukan perubahan terutama dalam sikap serta pemikiran, sasaran itu mampu dicapai dalam masa lima hingga 10 tahun ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, pada masa ini, Kuala Lumpur perlu melengkapkan kira-kira 30 peratus persediaan ke arah bandar bertaraf dunia dan lestari.

“Secara keseluruhan, Kuala Lumpur sudah mencapai 70 peratus persediaan ke arah status itu, tetapi masih ada beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan. Ini kerana untuk mencapai status bandar bertaraf dunia, pelbagai aspek perlu diambil kira antara lain mewujudkan persekitaran komuniti yang selamat, sistem pengangkutan terbaik dan kelestarian ekonomi.

“Apa yang kita perlukan bukan hanya pembangunan fizikal, tetapi aspek kemampanan yang seterusnya membawa kebaikan semua pihak.

“Dalam hal ini, masyarakat perlu lebih peka dan tidak hanya menumpukan kepada perkara berkaitan kebendaan tetapi turut memfokuskan kepada keperluan rohani. Ia adalah usaha untuk menjadikan sesebuah bandar itu lebih selesa untuk didiami dan bertaraf dunia,” katanya.

Bagaimanapun Ihsan berkata, dalam usaha mencapai kelestarian di sesebuah bandar, perlu ada keseimbangan dalam pembangunan kerana ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan kemajuan negara.

“Contohnya, kita perlu menyediakan sistem pengangkutan terbaik bagi mengelakkan kesesakan, namun pada masa sama kita harus memastikan sistem berkenaan tidak menggugat serta merosakkan kepentingan lain seperti persekitaran hijau dan ruang beriadah bagi komuniti,” katanya.

Pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 dijangka dirangka pada akhir tahun depan dalam usaha menjadikan ibu negara ke arah sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, dipetik sebagai berkata, pelan itu perlu bagi meneruskan perancangan pembangunan ibu kota, mengatasi kesesakan lalu lintas dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan warga kota.

“Pelan ini sepatutnya digazetkan lebih awal iaitu pada 2015, namun ia telah ditangguhkan. Hanya pelan struktur (Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020) yang diwartakan sebelum ini,” katanya.

Khalid juga berkata, kementerian bersama-sama 11 anggota Parlimen akan merangka pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040 sebelum penghujung 2019.

“Sebelum 2020 kita akan pamerkan pelan untuk persetujuan semua pihak sebelum ia digazetkan supaya tiada lagi ketidak telusan,” katanya.

Berita Harian X