Isnin, 15 Julai 2019 | 7:58pm
Pengurus Besar Pengiklanan The New Straits Times Malaysia Berhad (NSTP), Roche Chew (lima dari kiri) bergambar beramai bersama peserta pameran selepas sidang media Pameran Hartanah MyRumah 2019, di Pejabat The New Straits Times Malaysia Berhad (NSTP) Melaka, Jalan Melaka Raya 1, Melaka Raya. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Pameran MyRumah Melaka bermula Jumaat ini

MELAKA: Pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) akan berlangsung di pusat beli belah, AEON Bandaraya Melaka bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Siri jelajah kedua pameran hartanah dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menawarkan lebih 2,653 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM681 juta.

Ketua Pengiklanan Wilayah & Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) NSTP, S Linggaraj, berkata MyRumah mengenengahkan konsep '4E' kepada pengunjung iaitu ‘education’ (pendidikan), ‘entertainment’ (hiburan), ‘environment’ (persekitaran) dan ‘experience’ (pengalaman) bagi memastikan pameran itu lebih interaktif serta bermaklumat.

"Siri jelajah kedua pameran MyRumah menawarkan pelbagai jenis hartanah dan kediaman dengan hartanah berharga antara RM180,000 hingga RM679,000 dengan tujuh pemaju hartanah utama.

"Melalui konsep 4E yang diketengahkan, kita cuba membawa pembeli pelbagai maklumat berkaitan hartanah, tip pelaburan oleh pakar hartanah terkenal, pinjaman perumahan serta pendidikan interaktif," katanya pada pra- pelancaran siri kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 di sini, hari ini.

Siri kedua pameran hartanah MyRumah AEON Bandaraya Melaka itu akan berlangsung jam 10 pagi hingga jam 10 malam disertai oleh tujuh pemaju iaitu Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd); Faithview Group Development Sdn Bhd; Kumpulan Handal; Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan Melaka (LPM); Scientex Heights Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi (SPNB).

Pameran itu turut disertai oleh Takaful Ikhlas Bhd.

Sementara itu, Linggaraj berkata pihaknya berharap pengunjung di Melaka dan wilayah selatan lain termasuk di Negeri Sembilan dan Johor dapat meluangkan masa mengikuti pameran berkenaan, sekali gus mengintai potensi hartanah di Melaka yang pesat berberkembang.

"Malah, pembeli rumah di pameran hartanah MyRumah ini juga berpeluang menyertai pertandingan caburan bertuah utama sebuah kereta Nissan Almera," katanya.

Terdahulu, siri pertama MyRumah yang dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu berakhir dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

Selepas Melaka, siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak dan Sabah.

Berita Harian X