Khamis, 15 Ogos 2019 | 7:35pm

Unit Acoustech bangun projek RM44.1 juta di Johor

KUALA LUMPUR: Unit Acoustech Bhd, Teras Eco Sdn Bhd dan rakan kongsinya akan membangunkan 66 unit kedai pejabat dua dan tiga tingkat di Johor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM44.1 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Teras Eco pada Khamis memeterai perjanjian usaha sama dengan Sun Rock Development Sdn Bhd, anak syarikat Protasco Bhd.

Kos pembangunan kasar projek di Johor Bahru itu akan dibiayai Teras Eco sebanyak RM22.1 juta, manakala pembiayaan projek itu akan dibiayai secara dalaman atau pinjaman bank.

Di bawah projek itu, Sun Rock akan membina 17 unit kedai pejabat.

“Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, projek itu dijangka siap pada Disember 2022,”kata Acoustech.

Beliau berkata, projek itu akan menyediakan akses kepada pembangunan tanah berukuran 2.38 hektar di hab perindustrian utama dan sibuk yang menawarkan kemudahan serba lengkap untuk menampung penduduk yang semakin ramai di Johor.

Projek itu dijangka menyumbang secara positif terhadap keberuntungan dan aliran tunai syarikat itu untuk tempoh tiga tahun akan datang. - BERNAMA

Berita Harian X