Rabu, 28 Ogos 2019 | 2:52pm
Paramount Corporation Bhd

Paramount lancar enam lagi projek GDV RM900 juta

SHAH ALAM: Pemaju pembangunan, Paramount Corporation Bhd (Paramount) akan melancarkan enam lagi projek pembangunan baharu pada separuh kedua tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM900 juta.

Ketua Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata empat projek pembangunan berkenaan adalah di Selangor (Shah Alam; Klang; Salak Tinggi dan Cyberjaya) manakala masing-masing satu di Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya, kesemua projek pembangunannya mempunyai faktor jualan unik seperti mempunyai akses dengan kebanyakan lebuh raya utama dan terletak berhampiran dengan kemudahan awam.

“Walaupun pasaran hartanah masih perlahan pada masa ini, kami masih menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli untuk setiap projek pembangunan yang dilancarkan.

“Buktinya, kami merekodkan purata jumlah belian sebanyak 81 peratus pada separuh pertama tahun ini dengan jumlah jualan belum dibilkan meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM978 juta berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya pada sidang media prestasi separuh pertama 2019 di sini, hari ini.

Pada separuh pertama tahun ini, Paramount mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM310 juta.

Selain itu, kumpulan turut mencatat peningkatan perolehan sebanyak sembilan peratus kepada RM479 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut, Chew berkata Paramount juga masih mengekalkan sasaran jualan segmen hartanah sebanyak RM1 bilion pada tahun ini.

“Sama ada ia boleh dicapai atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan unit pemasaran kami untuk memeterai perjanjian sewa beli dengan pembeli yang sudah membuat tempahan menggunakan cek.

“Ia hanya boleh diketahui pada September depan. Jika ia tidak mencapai sasaran RM1 bilion, kami menyasar untuk meraih jualan sekurang-kurangnya RM800 juta,” katanya.

Sementara itu, Paramount turut mengembangkan operasinya dalam segmen ruang kerja bersama menerusi pembukaan dua ruang iaitu di Naza Tower dan Sekitar26.

“Kami menyasar untuk menyiapkan satu lagi ruang di Starling Mall menjelang suku keempat tahun ini.

“Dengan modal belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta yang diperuntukkan bagi setiap ruang kerja bersama itu, kami menyasar ia akan menyumbang sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus kepada perolehan kumpulan,” katanya.

Berita Harian X