Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:40pm
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib. NSTP/Saifullizan Tamadi.

UEM Sunrise rancang projek pembangunan baharu

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) merancang untuk melancarkan projek pembangunan baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM2 bilion tahun depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata ia membabitkan 15 projek di kawasan wilayah tengah dan selatan negara ini.

Katanya, projek pembangunan yang bakal dilancarkan itu merangkumi komponen kediaman atas tanah, kediaman bertingkat dan juga unit komersial.

“Kebanyakan projek pembangunan berkenaan adalah kesinambungan daripada fasa sebelumnya.

“Ia membabitkan projek sedia ada antaranya di Serene Heights, Senadi Hills, Aspira Garden, Estuari, Aspira ParkHomes, Aspira LakeHomes dan Solaris Parq,” katanya pada sidang media selepas membentangkan prestasi separuh pertama syarikat di sini, hari ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2019, UEM Sunrise meraih perolehan RM1.419 bilion berbanding RM861.1 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Segmen pembangunan hartanah menyumbang sebanyak 95 peratus daripada jumlah perolehan syarikat bagi tempoh dikaji.

Anwar Syahrin berkata, daripada jumlah berkenaan, 73 peratus perolehan adalah daripada projek antarabangsa terutama Aurora Melbourne Central dan Conservatory, disusuli dengan 15 peratus sumbangan daripada pembangunan di wilayah tengah seperti Sefina Residences di Mont’ Kiara dan Symphony Hills di Cyberjaya.

“Selain itu, kami turut mencatat jualan belum dibilkan sebanyak RM2.6 bilion sehingga 30 Jun lalu,” katanya.

Beliau menambah, UEM Sunrise yakin sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini boleh dicapai.

“Walaupun pasaran hartanah disifatkan berada dalam suasana mencabar kerana berhadapan dengan pelbagai isu antaranya lambakan rumah tidak terjual, kami tetap fokus dengan apa yang ada pada masa ini.

“Pada separuh pertama tahun ini, kami berjaya mencatat jualan sebanyak RM532 juta dan kebanyakan projek yang dilancarkan menerima sambutan baik dengan kadar belian purata dari Oktober 2018 hingga Jun lalu adalah sebanyak 85 peratus,” katanya.

Berita Harian X