Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:47pm
Semua pihak perlu memahami lebih jelas mengenai pembelian rumah. - Gambar hiasan

Rumah - Beli atau Sewa

Pemilikan rumah antara isu yang sering diperkatakan terutama dalam kalangan generasi muda. Namun harus diingat membeli hartanah terutama rumah pertama adalah satu keputusan penting bagi seseorang kerana ia bakal mempengaruhi sebahagian besar corak kehidupan terutama membabitkan kewangan.

Kesilapan membuat pilihan akan menyebabkan pembeli menanggung beban kewangan kerana ia membabitkan komitmen sejumlah pembayaran besar.

Perunding kewangan dan Penasihat Pelaburan, Ezaz Wealth Management Sdn Bhd, Mohd Kauthar Rozmal, berkata mengenai isu pemilikan kediaman, semua pihak perlu memahami lebih jelas mengenai pembelian rumah bukan satu keperluan.


Perunding kewangan dan Penasihat Pelaburan, Ezaz Wealth Management Sdn Bhd, Mohd Kauthar Rozmal. - Foto NSTP

"Keperluan yang sepatutnya diutamakan ialah mempunyai tempat tinggal yang selesa. Hal ini boleh dicapai bukan semata-mata dengan membeli rumah, tetapi juga menerusi penyewaan.

"Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi menyewa adalah pilihan lebih baik. Ini disebabkan jika berlaku sebarang kecemasan kewangan, kita mempunyai pilihan untuk merendahkan atau 'downgrade' gaya hidup dan memilih rumah sewa lebih murah.

"Sebaliknya, jika kita membeli rumah, rumah berkenaan berkemungkinan akan dilelong jika kita gagal untuk menjelaskan bayaran," katanya kepada Hartanah BH.

Mengikut piawaian bank dunia, harga rumah mampu milik bersamaan tiga kali gaji tahunan.

Purata harga rumah di negara ini dilaporkan pada kadar RM414,469 bagi suku ketiga 2018, sekali gus menjadi bukti kukuh ia berada di luar kemampuan rakyat berbanding purata pendapatan di Malaysia sekitar RM2,880 sebulan berdasarkan bancian Jabatan Statistik Malaysia 2017.

Ia menunjukkan berlaku ketidaksepadanan antara bekalan dan permintaan dalam pasaran hartanah yang mana akhirnya menyebabkan lambakan hartanah tidak terjual di seluruh negara mencecah nilai RM29.47 bilion berdasarkan Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Kediaman tidak terjual meningkat 30.6 peratus kepada 32,313 pada 2018 berbanding 24,738 tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan 27 peratus dari segi nilai kepada RM19.86 bilion.

Mengulas lanjut Mohd Kauthar berkata, pembelian rumah adalah lebih baik sekiranya pembeli sudah bersedia dari segi kewangan dan mampu menguruskan kewangan mereka dengan baik.

"Situasi sama turut dihadapi penjawat awam di mana mereka berkemungkinan besar masih tidak mampu atau masih menyusun kewangan sehingga masih belum layak membeli rumah," katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan hampir 95 peratus penjawat awam berusia bawah 30 tahun masih tidak mampu membeli rumah.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda dipetik sebagai berkata, kebanyakan penjawat awam tidak mampu membeli rumah dengan gaji semasa kerana harga rumah yang mahal.

"Kami masih sedang membincangkan kos sara hidup yang tinggi terutama dalam kalangan belia. Kebanyakannya berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan jadi sangat sukar untuk mereka membeli rumah.

"Sementara itu, 75 peratus penjawat awam berusia 40 tahun ke bawah juga masih belum memiliki rumah," katanya.

Berita Harian X