Khamis, 29 Ogos 2019 | 5:13pm
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Al Bakri dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Betty Lau pada taklimat media keputusan kewangan syarikat di Kuala Lumpur. NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Sime Darby Property tinjau jual aset bukan teras

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd sedang meninjau untuk menjual aset bukan terasnya termasuk tanah seluas lebih 500 hektar di Kedah bagi memantapkan lagi kedudukan kewangannya pada masa depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Amin Jaffri, berkata hasil daripada penjualan aset itu akan digunakan, antara lainnya, untuk pembangunan masa depan dan mengekalkan nisbah penggearan pada paras terkawal.

Beliau berkata, tanah milik Sime Darby Property di Kedah itu terletak dalam kawasan berhasil rendah dan ada kos yang perlu ditanggung, yang mana adalah lebih baik menjualnya dan menggunakan dana yang dijana untuk pelaburan dalam projek lain.

“Bukan mudah untuk mencari pembeli yang bersedia untuk membeli keseluruhan tanah sekali gus, dan tanah ini juga ada di beberapa tempat.

“Ia tidak memberi apa-apa keuntungan jika terus memegangnya. Kita boleh menjualnya, guna wang dan melabur di Lembah Klang,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan suku kedua Sime Darby Property berakhir 30 Jun 2019, di sini, hari ini.

Pada suku kedua 30 Jun 2019, keuntungan Sime Darby Property meningkat lebih empat kali ganda kepada RM205.3 juta dan pendapatannya pula meningkat 40 peratus kepada RM865.9 juta.

Pada separuh pertama 2019, pemaju hartanah itu mencatatkan jualan RM1.4 bilion, meningkat 20.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan jualan belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Transformasi Sime Darby Property, Fairuz Radi, berkata pemaju hartanah itu komited melaksanakan pelan transformasi dengan memberi tumpuan dalam pembangunan perindustrian dan logistik bagi meningkatkan keuntungan dan asas pendapatan berulang pada masa depan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan asas pendapatan berulangnya meningkat kepada 10 peratus menjelang 2023 berikutan pengembangan dalam pembangunan perindustrian dan logistik.

“Pembangunan perindustrian dan logistik akan menyumbang pendapatan berulang pada masa depan. Kami menyasarkan pendapatan berulang 10 peratus menjelang 2023 berbanding ketika ini sebanyak enam peratus,” katanya.

Berita Harian X