Khamis, 24 Oktober 2019 | 4:40pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib (tengah) melancarkan projek Kiara Bay di Kuala Lumpur. NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Kiara Bay disasar 60 peratus terjual dalam setahun

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menyasarkan kadar pengambilan 60 peratus bagi fasa pertama projek Kiara Bay dalam tempoh setahun selepas dijangka dilancarkan bulan depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata fasa pertama projek Kiara Bay terdiri daripada 870 unit kediaman dengan kawasan binaan antara 800 hingga 1,250 kaki persegi yang berharga antara RM600,000 hingga RM900,000.

Katanya, Kiara Bay adalah projek pembangunan bercampur seluas 29.54 hektar yang terdiri daripada unit kediaman dan ruang komersil dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion.

“Fasa pertama Kiara Bay dijangka siap pada suku keempat 2023. Keseluruhan pembangunan ini terbahagi kepada 15 fasa dan ia dijangka siap dibangunkan sepenuhnya pada 2039.

“Ia dibangunkan bersama rakan usaha sama, Melati Ehsan Holdings Bhd Group (Melati Ehsan Group),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran projek berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi Melati Ehsan Group, Tan Sri Yap Suan Chee.

Berdasarkan pelan induk yang dilancarkan, antara komponen yang terdapat dalam pembangunan Kiara Bay termasuklah unit kediaman, pusat beli-belah, ruang pejabat, hotel, pusat penjagaan kesihatan dan juga puat pendidikan.

Mengulas lanjut, Anwar Syahrin berkata, pihaknya mengekalkan konsep ‘sesuai didiami’ di Kiara Bay, yang mana terdapat kepelbagaian dalam penggunaan ruang, daripada kedai runcit hinggalah ke taman di luar.

“Menerusi konsep ini, kami juga mahu mencipta masyarakat yang akrab di dalam Kiara Bay dengan menghasilkan keseronokan di bandar melalui acara berkaitan masyarakat, festival dan perayaan.

“Dengan memanfaatkan pengalaman dan kejayaan kami dalam membangunkan Mont’Kiara, kami ingin mencipta nilai yang sama dengan Kiara Bay supaya pembeli rumah dan pelabur dapat menikmati pertumbuhan modal dalam aset mereka

“Selain itu, pelan induk Kiara Bay yang menyeluruh juga akan mewujudkan lebih banyak komuniti dan aktiviti komersial yang akan memberi impak positif kepada Kepong daripada segi ekonomi dan sosial,” katanya.

Berita Harian X