Rabu, 30 Oktober 2019 | 6:35pm
PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Selangor (REHDA Selangor).

Definisi sebenar rumah mampu milik perlu ditetapkan

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Cawangan Selangor (REHDA Selangor) menggesa penetapan definisi sebenar rumah mampu milik dibuat terlebih dulu sebelum sebarang cadangan penetapan harga rumah berkenaan dilaksanakan.

Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib, berkata pada masa ini, secara umumnya, definisi rumah mampu milik merujuk kepada rumah dengan nilai ambang di bawah RM300,000 walaupun sebelum ini hartanah berharga RM500,000 juga dianggap sebagai mampu milik.

Beliau berkata, terdapat dua jenis rumah mampu milik iaitu pertamanya rumah yang harga jualannya dikawal oleh kerajaan atau kerajaan negeri seperti Rumah Selangorku (RSKU) dan rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Manakala, kategori kedua pula, katanya adalah rumah mampu milik yang dipacu oleh permintaan pasaran.

Justeru, beliau berkata cadangan penetapan harga rumah mampu milik adalah bergantung kepada situasi.

“Ini kerana, ada negeri yang jualan hartanahnya adalah di bawah nilai ambang RM300,000 tetapi tidak dikategorikan sebagai rumah mampu milik. Kemampuan seseorang individu untuk membeli rumah tidak bergantung kepada faktor lokaliti atau geografi semata-mata.

“Sebagai contoh, di Selangor, kawasan yang berbeza menawarkan nilai ambang mampu milik yang berbeza.

“Di kawasan seperti Subang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam, harga rumah mampu milik di bawah skim RSKU juga dijual pada harga sekitar RM250,000,” katanya pada sidang media Ekspo Mini Hartanah Malaysia (MAPEX) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang baru-baru ini berkata harga rumah mampu milik bagi projek baharu di seluruh negara akan berdasarkan faktor lokaliti dan pendapatan isi rumah di kawasan berkenaan.

Ia berikutan masalah ketidakmampuan rakyat memiliki rumah terutama rumah mampu milik yang dikatakan berharga tinggi.

REHDA Selangor akan menganjurkan mini ekspo MAPEX Ampang dan Selayang pada 1 hingga 3 November ini di Melawati Mall serta MAPEX Shah Alam dan Klang pada 14 hingga 17 November depan di Central i-City Mall.

Berita Harian X