Rabu, 13 November 2019 | 7:58am

UEM Sunrise jual hartanah Melbourne pada harga RM304.13 juta

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise (St Kilda Road) Pty Ltd, anak syarikat milik penuh UEM Sunrise Bhd (UEMS), bercadang menjual hartanahnya di Melbourne, Australia kepada Acme Co No. 4 Pty Ltd (Acme) dengan harga A$107.09 juta (RM304.13 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UEMS berkata syarikat itu memeterai kontrak dengan Acme untuk menjual hartanah di 412, St Kilda Road, dengan keluasan boleh sewa bersih kira-kira 16,258 meter persegi, 174 tempat letak kereta termasuk semua kerja-kerja penambahbaikan dan lekapan.

"Cadangan penjualan itu akan membolehkan UEMS memanfaatkan nilai aset hartanahnya dengan meraih keuntungan sejajar nilai pasaran dan memperoleh tunai bagi membolehkan kumpulan melakukan pelaburan dan peluang penerokaan.

"Cadangan itu dijangka selesai menjelang akhir tahun dan kumpulan dijangka mendapat keuntungan penjualan bersih sebanyak A$19.12 juta (RM54.31 juta)," kata syarikat itu.

UEMS berkata hasil daripada cadangan penjualan itu akan digunakan untuk modal kerja, pelaburan dan peluang-peluang penerokaan yang lain.

Berita Harian X