Rabu, 13 November 2019 | 5:41pm
Teng Chang Kim (tengah) bersama Wan Hashimi Albakri (dua dari kiri), Daiji Kojima (kiri), Lothar Lauszat dan Lim Kim Heng ketika majlis pelancaran Bandar Bukit Raja Industrial Gateway Groundbreaking Ceremony di Bandar Bukit Raja, Klang. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

JV Sime Darby Property bina kemudahan industri Bukit Raja

KLANG: Sime Darby Property Bhd dan rakan kongsinya terdiri daripada firma pelaburan dan perdagangan global, Mitsui&Co Ltd serta pengendali dan pemaju hartanah komprehensif, Mitsubishi Estate Co Ltd bekerjasama membangunkan kemudahan perindustrian 'built-to-suit' (BTS) di Bandar Bukit Raja Industrial Gateway.

Pembangunan itu dijalankan menerusi penubuhan syarikat usaha sama (JV), SDMIT Development Sdn Bhd, yang mana 50 peratus pegangannya dimiliki oleh Sime Darby Property.

SDMIT Development akan membangunkan kemudahan perindustrian itu di kawasan utama seluas 15.8 hektar di tengah-tengah perbandaran Bandar Bukit Raja.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri, berkata Bandar Bukit Raja Industrial Gateway mendapat manfaat dari Selangor iaitu negeri yang sedang berkembang maju dipacu oleh ekonomi serta pembuatan menerusi penyediaan infrastruktur dan aksesibiliti perniagaan terbaik.

“Penyewa membuat pilihan tepat dengan memilih Bandar Bukit Raja Industrial Gateway bagi memulakan operasi mereka,” katanya pada majlis pecah tanah Bandar Bukit Industrial Gateway, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim; Pengarah Urusan Mitsui Malaysia, Daiji Kojima; Pengarah Urusan Leschaco Malaysia Sdn Bhd, Lothar Lauszat dan Pengarah Urusan Senheng Electric (KL) Sdn Bhd, Lim Kim Heng.

Wan Hashimi Albakri berkata, setakat ini penyedia perkhidmatan logistik global, Leschaho (Malaysia) dan rangkaian kedai elektronik pengguna terkemuka, Sengheng Electric adalah dua penyewa pertama di Bandar Bukit Raja Insdustrial Gateway dengan jumlah pelaburan masing-masing sebanyak RM100 juta dan minimum pajakan selama 10 tahun.

“Sime Darby Property juga dijangka akan memuktamadkan perjanjian dengan lapan syarikat berpotensi lain, menjelang tahun depan.

“Syarikat itu kebanyakannya terdiri daripada peserta pelbagai industri terutama yang terbabit dalam logistik dan pergudangan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Sime Darby Property kini turut memfokuskan kepada pembangunan hartanah perindustrian sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan perniagaan syarikat.

“Hartanah perindustrian dan pembangunan logistik dijangka mampu memberi pendapatan jangka panjang kepada syarikat memandangkan margin sektor hartanah serta komersial semakin perlahan pada masa ini,” katanya.

Bandar Bukit Raja Industrial Gateway membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM500 juta.

Dibangunkan dengan konsep BTS, projek itu menyediakan kemudahan bertaraf dunia kepada peserta rantaian bekalan global dengan kelebihan daya saing. 

Berita Harian X