Jumaat, 15 November 2019 | 6:12pm
HANIZA Talha (dua dari kanan) diiringi Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib (dua dari kiri) melawat pameran selepas merasmikan pembukaan Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2019 di Central i-City, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
HANIZA Talha (dua dari kanan) diiringi Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib (dua dari kiri) melawat pameran selepas merasmikan pembukaan Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2019 di Central i-City, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Selangor sedia turun harga ambang hartanah pembeli asing

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedia menurunkan harga ambang hartanah bagi pemilikan asing kini ditetapkan RM2 juta di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha, berkata jumlah penurunan berkenaan bagaimanapun hanya akan ditentukan selepas mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan tidak lama lagi.

“Kami akan bertemu dengan pelbagai pihak terbabit termasuk pemaju, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) untuk mengetahui keadaan sebenar hartanah tidak terjual, terutama pemilikan asing sebelum memutuskan sebarang jumlah penurunan.

“Apa yang boleh saya katakan, jika tiada masalah, nilai ambang baharu akan dilaksanakan awal tahun depan. Cuma, kita akan tetapkan penurunan ini adalah bertempoh mungkin setahun saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan mini Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Shah Alam/Klang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib dan Pengerusi Penganjur MAPEX Shah Alam/Klang, Loo Chee Yang.

Dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan Oktober lalu, kerajaan bercadang menurunkan nilai ambang hartanah bagi pemilikan asing kepada RM600,000 daripada jumlah asal RM1 juta.

Bagaimanapun, nilai ambang berkenaan berbeza di setiap negeri di mana Selangor menetapkannya pada RM2 juta.

Haniza berkata, penentuan nilai ambang akan mengambil kota pelbagai aspek termasuk jumlah hartanah yang diperuntukkan kepada warga asing tidak terjual.

“Pemilikan asing ditetapkan sebanyak 10 peratus daripada kuota bukan Bumiputera. Berdasarkan data NAPIC, jumlah hartanah tidak terjual untuk pemilikan asing ada rendah,” katanya.

Sementara itu, Zulkifly berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di Selangor dijangka menjana penjualan unit kediaman lebih tinggi berbanding RM7.5 bilion yang dicatatkan setakat ini.

“Jualan berjumlah RM7.5 bilion diraih sejak Januari lalu mewakili 12,000 unit kediaman di Selangor yang mana kebanyakan rumah terjual adalah jenis teres dengan tren pembelian rumah semakin tertumpu di kawasan Shah Alam dan Klang.

“Jadi, melalui penganjuran MAPEX 2019 Shah Alam/Klang ini, saya percaya ia mampu menyumbang kepada peningkatan unit kediaman dijual,” katanya.

MAPEX Shah Alam/Klang yang berlangsung sehingga 17 November ini menawarkan pelbagai jenis hartanah oleh 11 pemaju bernilai RM289,000 hingga RM2.5 juta.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X