Rabu, 11 Disember 2019 | 3:30pm

Damansara Realty lancar projek komersial di Tampoi

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Damansara Realty Bhd (DBhd), DAC Land Sdn Bhd, dan rakan kongsinya yang berpangkalan di Johor, Active Estates Sdn Bhd, melancarkan pembangunan komersial di Tampoi, Johor Bahru, dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih daripada RM150 juta.

Business Boulevard @ Central Park adalah bahagian ketiga Aliff Square dan akan mempunyai 68 unit lot pejabat dan kedai komersial pegangan bebas yang akan dibangunkan dalam empat fasa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembangunan di kawasan seluas 2.79 hektar itu akan memenuhi senarai menunggu sedia ada pembeli yang berminat susulan kejayaan pembangunan DBhd Aliff Square 1 dan 2 di kawasan yang sama.

Pengarah Urusan Kumpulan DBhd, Brian Iskandar Zulkarim, berkata selepas Aliff Square 1 dan 2 habis dijual, syarikat telah membuktikan kemampuan untuk mereka bentuk dan membangunkan hartanah yang memenuhi trend terkini dan permintaan pembeli.

“Memanfaatkan lokasi strategik Taman Damansara Aliff dan kesalinghubungan yang sangat baik, kami mengharapkan Business Boulevard @ Central Park dapat membina kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, hubungan strategik antara DBhd dan Active Estates Sdn Bhd adalah sebahagian daripada strategi pengembangan.

“Hubungan strategik adalah penyumbang penting kepada pertumbuhan DBhd dan sentiasa menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang kami.

“Dengan menggabungkan kekuatan dan kemampuan dengan rakan kongsi yang mantap seperti Active Estate, kami dapat beroperasi lebih cekap dengan perbelanjaan modal yang minimum, menghasilkan pendapatan yang lebih berkualiti dan menggerakkan DBhd hampir kepada matlamat kewangan 2019 kami,” kata Brian Iskandar.

-BERNAMA

Berita Harian X