Selasa, 7 Januari 2020 | 5:18pm
SUNWAY Property
SUNWAY Property

Sunway Property sasar jualan RM2 bilion

SUBANG JAYA: Sunway Property, cabang hartanah Sunway Bhd, menyasarkan jualan RM2 bilion bagi tahun kewangan 2020, 54 peratus lebih tinggi daripada sasaran tahun lalu iaitu RM1.3 bilion.

Pengarah Urusan Sunway Bhd (Bahagian Hartanah), Sarena Cheah, berkata sasaran jualan itu akan dipacu oleh pelancaran projek hartanah baharu bernilai RM3.5 bilion tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1 bilion adalah projek di dalam Malaysia manakala selebihnya adalah projek hartanah di Singapura.

“Kami yakin mampu mencapai sasaran ini bersandarkan penawaran produk yang baik dan dimahukan oleh pelanggan, terletak di lokasi yang amat strategik dan harga yang tepat.

“Tahun lalu, kami berjaya melepasi sasaran jualan yang ditetapkan apabila mencatat jualan sebanyak RM1.55 bilion dan yakin momentum itu akan diteruskan pada tahun ini,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi dan prospek Sunway Property 2020, di sini, hari ini.

Sunway Property turut melancarkan kempennya untuk tahun ini iaitu 'Yours,2020' yang menjadikan pembeli sebagai tumpuan utama operasinya.

Cheah berkata, Sunway Property pada masa ini mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM2.8 bilion.

Beliau berkata, terdapat sembilan projek baharu yang akan dilancarkan tahun ini termasuk tiga di Singapura.Katanya, projek hartanah di wilayah tengah membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM691 juta; wilayah selatan dengan GDV RM100 juta dan wilayah utara dengan GDV berjumlah RM250 juta.

“Tiga projek di Singapura membabitkan projek kondominium eksekutif iaitu Parc Canberra, Canberra Link dengan GDV RM560 juta; Ki Residence, Clementi (kondominium persendirian) bernilai RM1 bilion dan kondominium eksekutif, Park Avenue Residences, Tampine bernilai RM880 juta," katanya.

Ditanya mengenai tinjauan pasaran hartanah Malaysia untuk tahun ini, Cheah berkata, pasaran akan menjadi tidak menentu dengan lokasi pembangunan memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah projek.

Sunway Property kini memiliki sejumlah 1,360.58 hektar simpanan tanah dengan GDV sebanyak RM59 bilion dan jumlah tempoh pembangunan sehingga 15 tahun.

Berita Harian X