Khamis, 5 March 2020 | 4:45pm
TIMBALAN Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin dan Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe bertukar perjanjian pembangunan MET 6 di KL Metropolis. - Foto e-mel
TIMBALAN Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin dan Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe bertukar perjanjian pembangunan MET 6 di KL Metropolis. - Foto e-mel

Naza TTDI, EXSIM bangun komponen terbesar KL Metropolis

KUALA LUMPUR: TTDI KL Metropolis Sdn Bhd, anak syarikat penuh Naza TTDI Sdn Bhd memeterai usaha sama dengan EXSIM Development Sdn Bhd untuk membangunkan komponen terbesar projek KL Metropolis, MET 6 membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM800 juta.

Di bawah perjanjian pembangunan bersama, Ivory Interpoint Sdn Bhd, anak syarikat EXSIM akan diberi hak ke atas tanah berkeluasan 0.75 hektar untuk dimajukan dengan pembangunan apartmen servis yang lengkap dengan podium runcit.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin, berkata dengan rekod prestasi EXSIM yang mengagumkan dan visi yang melengkapi kedua-dua entiti, syarikat itu yakin apabila KL Metropolis siap, ia akan menjadi pembangunan yang amat dinanti-nantikan penduduk bandar.

“KL Metropolis diplotkan dalam pelan sebagai pembangunan seimbang lengkap dengan contoh kehidupan mewah, ruang hidup dan sosial yang selesa dan futuristik,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu dimeterai oleh SM Faliq dan Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe.

Sementara itu, Aik Hoe berkata, adalah sesuatu yang membanggakan apabila menjadi sebahagian daripada pasukan yang membangunkan KL Metropolis.

“Perancangan pembangunan sedang dijalankan dan kami yakin MET 6 akan menjadi karya terbaik yang pernah dihasilkan syarikat yang menggabungkan konsep keseluruhan KL Metropolis,” katanya.

Perjanjian yang dimeterai Naza TTDI dan EXSIM adalah yang keempat bagi pembangunan KL Metropolis, dengan tiga sebelumnya membabitkan Hap Seng bagi pembangunan KL Midtown; Triterra untuk The MET; serta Nusmetro bagi Arte MK.

KL Metropolis adalah pelan induk projek pembangunan utama di bawah Naza TTDI dengan mengetengahkan pembangunan bercampur di atas tanah berkeluasan 30.56 hektar dengan anggaran GDV RM20 bilion.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X