Rabu, 13 Mei 2020 | 2:01pm
Harga hartanah terus meningkat terutama di Selangor dan Kuala Lumpur
Harga hartanah terus meningkat terutama di Selangor dan Kuala Lumpur

Harga jualan hartanah kekal meningkat

KUALA LUMPUR: Harga jualan hartanah di kebanyakan pasaran terutama Kuala Lumpur dan Selangor meningkat pada suku pertama tahun ini, demikian menurut laporan Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata walaupun pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendatangkan impak teruk terhadap semua industri, namun pasaran hartanah tidak terkesan dengan perkara itu.

Beliau berkata, harga jualan hartanah menunjukkan peningkatan secara marginal pada suku pertama, meningkat 0.63 peratus kepada 89.46 peratus berbanding 88.90 peratus pada suku keempat 2019.

Katanya, ini disertai oleh penurunan ketara dalam bekalan hartanah sebanyak 10.47 peratus dalam tempoh yang sama, mewakili penurunan suku tahunan paling tinggi dalam tiga tahun kerana PKP mendatangkan kesan negatif kepada aktiviti pembinaan, penyenaraian dan sesi lihat rumah di Malaysia.

"Berikutan dengan langkah membendung pandemik kian meningkat, pasaran hartanah mengalami penurunan dalam segala aktiviti berkenaan.

"Namun demikian, penyederhanaan pertumbuhan harga, jumlah dan nilai transaksi dalam beberapa tahun kebelakangan ini berkemungkinan berfungsi sebagai penghadang terhadap pasaran hartatanah.

"Kenaikan harga jualan di kawasan utama juga dapat dilihat pada suku pertama, menunjukkan peningkatan minat terhadap kawasan ini disebabkan pendekatan 'soft-landing' yang diambil oleh Malaysia pasca PKP," katanya dalam satu kenyataan.

Sheldon berkata, Selangor menunjukkan peningkatan tertinggi untuk harga jualan unit hartanah sebanyak 1.94 peratus kepada 93.2 peratus berbanding 91.43 pada suku keempat 2019.

Beliau berkata, ia diikuti oleh Kuala Lumpur dengan kenaikan 1.81 peratus kepada 96.62 peratus berbanding 94.9 peratus suku sebelumnya.

Katanya, walaupun jangka masa ini bertepatan dengan permulaan wabak COVID-19 dan PKP pada Mac, kesan sepenuhnya mungkin akan menyebabkan penurunan harga yang lebih ketara pada suku akan datang.

"Namun demikian, kenaikan harga jualan menunjukkan minat yang kuat masih berterusan di wilayah tengah seiring dengan peningkatan aktiviti pelaburan dalam projek kediaman unit tinggi.

"Perkara ini lebih jelas dilihat dalam trafik laman web PropertyGuru Malaysia, yang memperlihatkan unit kediaman bertingkat dan kondominium yang berharga antara RM900,000 hingga RM2,000,000 merangkumi sebahagian besar carian web di portal pada Mac dan awal April," katanya.

Sementara itu, Sheldon berkata, Pulau Pinang dan Johor menyaksikan kejatuhan harga jualan berterusan beberapa tahun kebelakangan ini, di mana masing-masing mencatatkan penurunan 0.13 peratus dan 0.59 peratus.

Berita Harian X