Khamis, 11 Jun 2020 | 6:06pm
PULAU Pinang menurunkan harga siling untuk rumah mampu milik sebanyak 10 peratus mulai tahun depan. - Foto hiasan NSTP/E-mel
PULAU Pinang menurunkan harga siling untuk rumah mampu milik sebanyak 10 peratus mulai tahun depan. - Foto hiasan NSTP/E-mel

Rumah mampu milik di Pulau Pinang lebih murah

GEORGE TOWN: Harga siling untuk rumah mampu milik di negeri ini dikurangkan sebanyak 10 peratus mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata insentif itu bertujuan membantu pembeli yang pertama kali mahu memiliki rumah.

"Dasar baharu bertujuan merangsang semula ekonomi negeri, terutama sektor perumahan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Menerusi usaha ini, kita mahu memastikan rakyat negeri ini mampu membeli rumah sendiri," katanya, hari ini.

Justeru katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan menurunkan harga siling untuk rumah mampu milik sebanyak 10 peratus untuk jangka masa satu tahun.

"Kita tidak pasti bila wabak ini akan berakhir. Bagaimanapun kita berharap dengan dasar baharu ini berupaya merangsang kembali ekonomi," katanya.

Had siling rumah mampu milik ditetapkan RM270,000 untuk hartanah di bahagian pulau, sementara RM225,000 pula rumah di tanah besar negeri itu.

Jagdeep berkata, pelaksanaan dasar itu dibuat berikutan pihaknya menerima maklum balas dari Persatuan Pemaju Harta Tanah dan Perumahan (REDHA), Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang dan lain-lain.

"Kita perlu kembali merangsang sektor perumahan dan apabila sektor ini menunjukkan perkembangan aktif, ia akan menguntungkan kira-kira 140 sektor lain ekonomi kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dasar baharu itu tidak akan mempengaruhi perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang kini masing-masing berharga RM42,000 dan RM72,500.

Katanya, Pulau Pinang menyasarkan untuk menjual kira-kira 180,000 unit menjelang 2030.

"Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 105,719 unit rumah mampu milik di bawah pengetahuan saya, yang merangkumi 30,191 unit siap, 24,098 unit dalam pembinaan dan 51,432 unit dengan pelbagai harga dalam perancangan," katanya.

Berita Harian X