Isnin, 27 Julai 2020 | 1:34pm
Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San ketika sidang media selepas AGM syarikat itu di Petaling Jaya, hari ini - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San ketika sidang media selepas AGM syarikat itu di Petaling Jaya, hari ini - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

LBS sasar jualan hartanah RM1 bilion

PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkemuka tempatan, LBS Bina Group Bhd menyasarkan jualan yang lebih rendah sebanyak RM1 bilion pada 2020 disebabkan persekitaran pasaran kekal mencabar ketika ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San, berkata pemaju hartanah itu pada 2019 berjaya melepasi sasaran jualannya sebanyak RM1.63 bilion, lebih tinggi berbanding RM1.526 bilion yang dicatatkan pada 2018.

Beliau berkata, bagi tahun ini, pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menjejaskan sasaran jualan hartanah kumpulan selain kelembapan jualan pasca PKP.

"Kumpulan menyasarkan RM1 bilion jualan pada tahun ini. Setakat 26 Julai, kami telah mencapai jualan sebanyak RM780,000, justeru

yakin sasaran itu dapat dicapai pada suku keempat ini.

"Walaupun rendah berbanding prestasi beberapa tahun lalu, kami berbangga kerana masih boleh merekodkan jualan.

"Ini membuktikan bahawa strategi dan pembangunan LBS memenuhi keperluan pasaran," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) LBS ke-20 di sini, hari ini.

Hock San berkata, LBS juga yakin industri hartanah akan kembali meningkat pada suku pertama 2021 disokong oleh pelan rangsangan ekonomi kerajaan.

Beliau berkata, ekonomi negara perlu dipulihkan dalam kadar segera agar semua aktiviti ekonomi dapat kembali berjalan seperti biasa.

Ini juga, katanya membolehkan pemaju hartanah meneruskan projek dan pada masa yang sama membantu merancakkan ekonomi melalui pemberian tender kepada kontraktor kecil dan sederhana.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, LBS terus melancarkan hartanah dalam tempoh sembilan bulan akan datang dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion.

"Sehingga kini, LBS mempunyai 15 projek yang sedang berjalan dengan GDV sebanyak RM4.3 bilion.

"Kami juga mempunyai simpanan tanah seluas 3,591 ekar, yang akan menjadi sokongan penting kepada kumpulan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

"Walaupun ekonomi sukar diramal, kami akan terus membina lebih banyak hartanah mampu milik berteraskan tiga tunggak utama iaitu mampu milik, kesalinghubungan dan komuniti," katanya.

Berita Harian X