Isnin, 17 Julai 2017 | 7:28pm

AirAsia perkukuh kehadiran di Asia

KUALA LUMPUR: AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah, sedang berunding untuk memuktamadkan perjanjian usaha sama (JV) dengan China bagi menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) yang akan berpangkalan di Zhengzhou.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto NSTP/Yazit Razali

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata rundingan kini masih dalam proses mendapat kelulusan daripada pihak yang berkaitan dan lebih menarik, China bersetuju menggunakan konsep yang diketengahkan AirAsia.

"Nama (JV) sudah dimuktamadkan. Buat masa ini, kami sedang menyiapkan kertas kerja berhubung JV untuk dipersetujui oleh pihak yang berkenaan," katanya dalam temubual ekslusif bersama BH ketika dalam penerbangan AirAsia dari klia2 ke Bangkok, baru-baru ini.

Mei lalu, AirAsia memeterai perjanjian usaha sama dengan China untuk menubuhkan LCC di negara itu yang membabitkan AirAsia, Everbright Group dan Henan Government Working Group bagi menubuhkan AirAsia (China).

AirAsia (China) juga akan melabur dalam infrastruktur penerbangan termasuk terminal khusus LCC di Lapangan Terbang Zhengzhou dan pusat latihan penerbangan untuk melatih juruterbang, anak kapal dan jurutera termasuk kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

Perjanjian antara tiga entiti itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan lawatan kerja ke China, Mei lalu.

Tony berkata, lebih menarik, China juga bersetuju memberi kebebasan kepada AirAsia termasuk memiliki terminal LCC sendiri mengikut keperluan syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia itu.

"Ia adalah sesuatu yang sangat besar kepada kami. Kami akan berusaha keras untuk mendapat kelulusan LCC di China kerana secara jelas negara berkenaan menyediakan peluang amat luas kepada AirAsia untuk berkembang.

"Ketika ini, kami terbang di 21 destinasi di China dan menerusi LCC kami menjangkakan pertumbuhan lebih positif kepada AirAsia. Terima kasih kepada PM (Najib) kerana memberi sokongan dan membuka pintu kepada AirAsia untuk meneroka pasaran China," jelasnya.

Selain China, Tony berkata, AirAsia juga sedang dalam proses mendapat kelulusan untuk pasaran Kemboja, yang mana ia dijangka diperoleh dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan akan datang.

"Kami sudah meneroka pasaran Vietnam, selepas ini sasaran kami adalah Myanmar dan empat pasaran lebih kecil seperti Singapura, Brunei, Laos dan Kemboja.

Diasaskan pada 1993, Kumpulan AirAsia sudah mengendalikan 450 juta penumpang setakat ini. Tahun lalu, termasuk AirAsia X, kumpulan itu mengendalikan 61.28 juta penumpang.

Setakat Disember 2016, Kumpulan AirAsia memiliki 204 pesawat dan ia bertambah kepada 233 pesawat menjelang akhir tahun ini.

Info:

Kumpulan AirAsia

* Miliki 204 pesawat

* Kendali 450 juta penumpang

691 dibaca
Berita Harian X