Selasa, 18 Julai 2017 | 2:56pm
PENGERUSI Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah)melancarkan perasmian bengkel usahawan automotif PUNB, Azzrie Tyre Services sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif (PUNB), Datuk Azhar Ahmad (dua dari kanan) dan Muhammad Azzrie Abd Aziz, 23, (kiri) di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

PUNB biaya RM2.7 bilion bantu 9,000 usahawan

AYER KEROH: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjaya mewujudkan 6,341 syarikat mewakili lebih 9,000 usahawan menerusi pelbagai skim keusahawanan dengan pembiayaan sebanyak RM2.7 bilion.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, PUNB sudah mengagihkan sebanyak RM79.4 juta kepada 184 syarikat membabitkan seramai 255 usahawan Bumiputera.

"Berdasarkan laporan dikeluarkan Bank Negara Malaysia bagi suku pertama tahun ini, ia menunjukkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.6 peratus dan dijangka terus meningkat biarpun berdepan cabaran.

"Saya memberi jaminan PUNB akan terus membantu usahawan Bumiputera dari segi pembiayaan, latihan dan pembangunan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Aidilfitri PUNB dan perasmian kedai usahawan automotif PUNB, Azzrie Tyre Services di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad.

Sementara itu, Mohd Ali tidak menolak bantuan pembiayaan yang diberikan kepada usahawan automotif berjaya membantu mereka menaik taraf perniagaan ke tahap lebih membanggakan.

"Sehingga Jun lalu, PUNB sudah mewujudkan sebanyak 983 perniagaan automotif membabitkan seramai 1,191 Bumiputera dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM249.8 juta.

"Memorandum persefahaman (MoU) antara PUNB dan Malaysia Automotive Institute (MAI) yang dimeterai akhir tahun lalu, berupaya membangunkan lagi usahawan Bumiputera," katanya.

335 dibaca
Berita Harian X