Khamis, 20 Julai 2017 | 6:45pm

Maxis untung RM484j suku ke-2

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM484 juta pada suku kedua tahun ini, peningkatan 14.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pencapaian itu dipacu oleh perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih tinggi dan caj harta tanah, loji dan kelengkapan yang lebih rendah.

Kumpulan itu juga mencatat hasil perkhidmatan sebanyak RM2.122 juta, meningkat 3.3 peratus daripada RM2.055 juta pada tahun lalu, disokong oleh pengekalan prestasi pascabayar dan prabayar walaupun berhadapan dengan persaingan yang sengit.

Hasil pasca-bayar meningkat dua peratus RM998 juta berbanding RM978 juta tahun lalu, dengan asas pelanggan yang kukuh menghampiri 1.9 juta pelanggan MaxisONE dengan purata hasil setiap pengguna (ARPU) bulanan sebanyak RM120.

Selain itu, hasil pra-bayar turut meningkat 2.9 peratus kepada RM984 juta berbanding RM956 juta pada suku kedua tahun lalu.

Hotlink FAST, peneraju pasaran pra-bayar 4G dengan ARPU yang tinggi sebanyak RM44, mempunyai lebih daripada 1.8 juta langganan yang telah meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan, Morten Lundal, secara keseluruhannya, suku kedua adalah suku yang amat positif.

"Kami merekodkan prestasi kewangan yang kukuh dengan skor kepuasan pelanggan paling tinggi yang pernah kami rekodkan.

"Keutamaan kami adalah terus memberi pengalaman rangkaian yang terbaik dan mewujudkan pengalaman pelanggan yang tidak dapat ditandingi di semua saluran.

"Ini akan menjadi lebih baik apabila kami mencapai pendigitalan sepenuhnya dan kami berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai cita-cita ini," katanya dalam satu kenyataan.

Maxis Bhd juga turut mengukuhkan usaha dalam memberi pengalaman pelanggan yang tiada tandingan.

"Semakin ramai rakyat menikmati pengalaman data yang pantas di rangkaian 4G LTE terkemuka kami yang kini telah mencapai 89 peratus daripada penduduk negara.

"Rakyat di negara ini sukakan internet dan ia terbukti apabila penggunaan data LTE telah meningkat hampir dua kali ganda daripada 3.7GB sebulan pada suku kedua tahun lalu ke 7.0GB suku kedua ini.

"Kami mengakhiri suku ini dengan 5.6 juta pengguna 4G LTE, meningkat dari 3.5 juta setahun yang lalu," menurut kenyataan itu lagi.

INFO:

* Kumpulan itu mengumumkan dividen interim kedua sebanyak lima sen sesaham

Berita Harian X