Khamis, 27 Julai 2017 | 4:41pm
PC Vietnam Ltd, anak syarikat PETRONAS akan menyerahkan Blok 01 dan 02 kepada PetroVietnam. - Foto hiasan
PC Vietnam Ltd, anak syarikat PETRONAS akan menyerahkan Blok 01 dan 02 kepada PetroVietnam. - Foto hiasan

PETRONAS serah 2 blok kepada Vietnam

KUALA LUMPUR: PC Vietnam Ltd, anak syarikat PETRONAS akan menyerahkan Blok 01 dan 02 kepada PetroVietnam selaku pihak rasmi negara itu, selepas kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) blok itu tamat pada 9 September ini.

Dalam satu kenyataan semalam, PETRONAS berkata blok itu terletak di lembangan Cuu Long di luar pesisir Vietnam.

"Tempoh PSC selama 26 tahun bagi blok itu berkuat kuasa pada 9 September 1991 dan adalah kejayaan usaha sama antarabangsa pertama PETRONAS, " katanya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, susulan berakhirnya PSC itu, PC Vietnam akan menamatkan operasinya sebagaimana ditetapkan dalam terma kontrak.

"Kami mencatat banyak kemajuan sejak memasuki Vietnam pada 1991 yang adalah detik permulaan yang penting dalam perjalanan globalisasi kami.

"Sebagai pelabur perintis dalam industri minyak dan gas Vietnam, kami berbangga diberi peluang oleh Vietnam untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak dan gas serta petrokimia negara ini," katanya.

PETRONAS berkata, ia akan meneruskan aktiviti pengeluaran huluan untuk Blok 102 dan 106 yang terletak di Lembangan Song Hong Basin, Vietnam Utara.

"Operasi blok ini dijalankan oleh Petronas Carigali Overseas Sdn Bhd, " katanya.

Menurut PETRONAS, pihaknya juga komited untuk meneruskan peluang dalam perniagaan hiliran di negara itu, khususnya sektor pelincir dan petrokimia.

BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X