Isnin, 31 Julai 2017 | 6:03pm

MAHB catat keuntungan positif

KUALA LUMPUR: Pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada separuh pertama 2017, melonjak sebanyak 8.8 peratus kepada RM2.19 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukainya pula meningkat sebanyak 245 peratus kepada RM192.2 juta manakala keuntungan bersih meningkat sebanyak 416.2 peratus kepada RM129.5 juta dalam tempoh yang sama.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, pencapaian itu dipacu oleh perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan trafik penumpang masing-masing meningkat sebanyak 10.6 peratus dan 9.5 peratus.

EBITDA separuh pertama 2017 sebanyak RM962.3 juta mewakili 53.6 peratus daripada sasaran EBITDA tahunan MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

"Dengan gabungan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (SGIA), rangkaian lapangan terbang MAHB mengendalikan 61.7 juta penumpang pada separuh pertama 2017, yang mewakili pertumbuhan 9.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Trafik penumpang untuk operasi Malaysia meningkat sebanyak 12.2 peratus kepada 47.3 juta penumpang. KLIA mencatat pertumbuhan 14.5 peratus dalam trafik penumpang untuk tempoh yang sama manakala lapangan terbang lain di Malaysia mencatatkan pertumbuhan agregat sebanyak 8.8 peratus.

"Operasi MAHB mencatatkan hasil sebanyak RM1,666.9 juta, meningkat 11.2 peratus berbanding separuh pertama 2016. Perolehan runcit dan sewa terus mencatatkan pertumbuhan dua angka masing-masing sebanyak 15.9 peratus dan 11.5 peratus kepada RM412.9 juta dan RM364.8 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB berkata, berdasarkan sumbangan pendapatan yang lebih kukuh itu, EBITDA untuk operasi Malaysia meningkat sebanyak 17.2 peratus kepada RM615.6 juta.

Pendapatan dari operasi Turki untuk tempoh yang sama juga meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada RM459.6 juta manakala EBITDA bagi tempoh berjumlah RM339.8 juta atau 0.7 peratus lebih rendah daripada separuh pertama 2016.

Katanya, hasil daripada projek kumpulan dan operasi penyelenggaraan pembaikan di Doha, Qatar, pula meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM67.1 juta.

"Peningkatan pertumbuhan penumpang bagi Malaysia didorong oleh pertumbuhan baru yang disumbangkan oleh langkah pemberian visa untuk China dan India, peningkatan perjalanan Umrah, tambang kompetitif serta kadar pertukaran yang menggalakkan untuk pelancong asing.

"Di samping itu, peningkatan permintaan disokong peningkatan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan juga membantu kenaikan itu. Walaupun kebimbangan geopolitik kekal di rantau Timur Tengah, jumlah trafik penumpang yang berdaya tahan untuk Istanbul SGIA dijangka bertambah baik sepanjang musim panas nanti," katanya.

KLIA juga kekal berada pada pertumbuhan positif dan akan meneruskan usahanya untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau.

Berita Harian X