Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:10pm
ABDUL Adzim (kiri) bersama Fuaad (kanan) dan Suhaimi meninjau kerja pemasangan panel tenaga solar di tapak projek Kawasan Perindustrian Telok Kalong. - Foto Ghazali Kori

EPIC labur RM75j bina loji solar

CHUKAI: Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) akan melabur RM75 juta membangunkan loji solar di tapak seluas 28 hektar di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, di sini.

Pengurus Besar Bahagian Perhubungan Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid, berkata loji solar berkenaan akan menjana 18.5 megawatt (MW) elektrik.

Katanya, tenaga elektrik yang dijana akan dijual kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan disambung kepada grid nasional.

"Kita unjur memperoleh hasil jualan elektrik sebanyak RM130 juta dalam tempoh 10 tahun," katanya di tapak projek solar itu di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengurus Besar EPIC GD Solar Sdn Bhd, Fuaad Mohamed Nawawi dan Pengurus Besar EPIC Mushtari Engineering Sdn Bhd, Mohd Suhaimi Ibrahim.

Mengulas lanjut, Abdul Adzim berkata, loji solar itu dijangka mula beroperasi Mac depan selepas fasa ujian tiga bulan bermula pada Januari.

Pembabitan dalam tenaga solar seiring hala tuju syarikat untuk mempelbagai kegiatan selain minyak dan gas.

Berita Harian X