Sabtu, 5 Ogos 2017 | 8:00am
Li Chun Rong

Geely cari calon Pengerusi terajui PROTON

Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) dilaporkan sedang mencari calon sesuai untuk dilantik sebagai Pengerusi pengeluar kenderaan nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON).

Menurut portal industri automotif China, Gasgoo, buat masa ini syarikat itu belum menemui calon sesuai walaupun ada spekulasi tokoh permotoran terkenal China iaitu Li Chun Rong bakal dilantik.

"Geely sedang mencari calon yang sesuai di serata dunia untuk menjadi Pengerusi PROTON dan Chun Rong berminat untuk menyertai," kata Naib Presiden Geely, Yang Xueliang yang dipetik portal berkenaan.

Chun Rong ketika ini adalah Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekutif Dongfeng Honda Engine Company.

Pada 23 Jun lalu, Geely mengambil alih 49.9 peratus ekuiti PROTON dan 51 peratus saham dalam Lotus Group daripada DRB-Hicom, sekali gus menjadi rakan strategik asing syarikat kenderaan nasional itu.

Sumber rapat industri itu ketika dihubungi BH semalam, berkata pihaknya difahamkan Geely mempunyai hak untuk menentukan dua jawatan utama dalam pengeluar kereta nasional berdasarkan perjanjian dimeterainya antara DRB-HICOM dan Geely.

"Berdasarkan perjanjian, Geely akan mengawal operasi PROTON manakala Lembaga Pengarah PROTON pula masih di bawah DRB-Hicom, secara asasnya perlantikan itu menjadi hak Geely sebagai rakan strategik.

"Namun sebelum ini, perkara mengenai pelantikan pengurusan tertinggi itu tidak ditimbulkan. Perlu difahami calon tidak semestinya dari China atau mana-mana negara luar kerana mereka juga boleh memilih mengekalkan pengurusan sedia ada.

"Sudah tentu Geely akan melantik individu yang dapat menjayakan pelan transformasi PROTON, kerana ekosistem itu memerlukan individu yang memiliki keupayaan dan kepakaran dalam automotif," jelas beliau.

Mengulas lanjut, seorang penganalisis industri pula berkata, jika pelantikan pakar automotif luar itu berlaku kelak, ia seharusnya dilihat sebagai perkembangan positif mencontohi kejayaan pelan pemulihan Malaysia Airlines Bhd.

Katanya, langkah Khazanah Nasional Bhd melantik Christoph Mueller untuk menerajui Malaysia Airlines berhasil melancarkan pelaksanaan pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional kini.

"Yang kita mahukan adalah jenama Proton itu sendiri yang perlu dinaikkan kembali, tidak kisah siapa yang menjadi ketuanya," katanya.

Info:

Li Chun Rong, 53 tahun.

  • Jawatan: Pengarah dan Naib Eksekutif Pengurus Besar, Dongfeng Honda Engine Company,

  • 1987 - menyertai Dongfeng Automobile

    Timbalan Pengarah Lembaga Pengarah Dongfeng Automobile Co Ltd

  •  

  • 2002 - Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Yueda Kia Motors Co Ltd
  •  

    Penyelia Dongfeng Automobile Group Company

     

  • 2007 - Pengurus Besar syarikat kenderaan penumpang Dongfeng

Berita Harian X