Sabtu, 19 Ogos 2017 | 3:28pm

AirAsia lancar laluan Langkawi-Shenzen

LANGKAWI: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, hari ini melancarkan laluan penerbangan Langkawi-Shenzen, dalam usaha melonjakkan potensi pulau itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Upacara bersejarah itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Kompleks Lang Merah di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini.

Penerbangan Langkawi- Shenzen beroperasi tiga kali seminggu bermula 9 Ogos lalu itu diyakini mampu melonjakkan sektor pelancongan pulau itu selaras misi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menerokai pasaran asing dengan laluan unik, antaranya ke China.

 TONY Fernandes
TONY Fernandes

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, menghargai sokongan Perdana Menteri terhadap usaha AirAsia terutama dengan mengurangkan cukai lapangan terbang.

"Tahun lalu, Perdana Menteri melancarkan penerbangan terus dari Guangzhou ke Langkawi. Hari ini, kita dapat lihat hasilnya apabila kemasukan terus pelancong asing meningkat daripada 83,754 penumpang pada 2015 kepada 187,433 pada 2016, iaitu meningkat 120 peratus.

"Kemasukan ini menyumbang RM300 juta kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK), malah tahun lalu, buat pertama kalinya, jumlah pelancong antarabangsa mengatasi pelancong tempatan.

"Bagi AirAsia, untuk tahun ini kita sudah menerbangkan lebih sejuta pelancong ke Langkawi melalui 238 penerbangan seminggu dari pulau pelancongan ini.

"Kita menyasarkan angka tiga juta untuk membantu LADA mencapai sasaran pulangan RM9 bilion," katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

AirAsia ketika ini terbang ke tujuh destinasi dari Langkawi membabitkan empat laluan domestik iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kuching, serta tiga laluan antarabangsa iaitu Singapura, Guangzhou dan Shenzen.

Selain itu ,AirAsia turut menghubungkan Langkawi ke 15 negara, termasuk Vietnam, Korea Selatan dan Taiwan dan beberapa destinasi lain secara Fly-Thru.

NAJIB Razak meletakkan tangan di bebola kaca simbolik majlis pelancaran Pemimpin Bersama Rakyat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Padang Matsirat. Turut kelihatan Ahmad Bashah (dua dari kanan), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri) dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar (empat dari kanan). - Foto Amran Hamid
NAJIB Razak meletakkan tangan di bebola kaca simbolik majlis pelancaran Pemimpin Bersama Rakyat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Padang Matsirat. Turut kelihatan Ahmad Bashah (dua dari kanan), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri) dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar (empat dari kanan). - Foto Amran Hamid

Berita Harian X