Jumaat, 25 Ogos 2017 | 6:58pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Aswadi Alias

PETRONAS tambah dividen RM3b kepada kerajaan

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan menyalurkan dividen tambahan RM3 bilion kepada kerajaan berikutan prestasi kewangan memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.

Penambahan itu akan meningkatkan jumlah keseluruhan dividen yang akan dibayar kepada kerajaan kepada RM16 bilion tahun ini daripada RM13 bilion seperti yang dicadangkan sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata keputusan itu dibuat berikutan kekukuhan keuntungan syarikat minyak nasional itu.

"Kami sudah meluluskan dividen interim sebanyak RM3 bilion kepada kerajaan, yang mana akan disalurkan secara berperingkat.

"Sebelum ini, Lembaga Pengarah sudah meluluskan dividen akhir sebanyak RM13 bilion bagi keseluruhan tahun ini. Namun begitu, susulan prestasi kukuh, Lembaga Pengarah sudah meluluskan tambahan RM3 bilion. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen yang dibayar kepada pemegang saham kami (kerajaan) sebanyak RM16 bilion," katanya di sini.

Pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2017, PETRONAS mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM17.3 bilion, melonjak 170 peratus berbanding RM6.4 bilion pada tempoh sama 2016.

Pendapatan syarikat minyak dan gas (O&G) negara itu dalam tempoh dikaji naik 15.4 peratus kepada RM108.1 bilion daripada RM93.7 bilion, berikutan peningkatan harga minyak global.

"Pada separuh tahun pertama tahun ini, purata harga brent global (minyak mentah global) berlegar pada AS$52 setong, lebih tinggi berbanding purata AS$40 setong pada 2016. Ini menjadikan produk berkaitannya turut diniagakan pada harga lebih tinggi," kata Wan Zulkiflee.

Keuntungan sebelum cukai, kadar faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan itu dalam tempoh dikaji juga turut melonjak 34.5 peratus kepada RM45.2 bilion, berbanding RM33.6 bilion tahun lalu.

"Bahkan prestasi itu dicapai dalam kedudukan kos operasi kumpulan lebih rendah lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.

Setakat Jun lalu, kedudukan tunai PETRONAS berada pada RM138 bilion dengan nisbah hutang sangat rendah iaitu pada 17.1 peratus serta mengekalkan penarafan kreditnya.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2017, PETRONAS mencatat keuntungan selepas cukai RM7 bilion, meningkat 311 peratus daripada RM1.7 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Melangkah ke hadapan, PETRONAS berkata, meskipun harga minyak mentah adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu, namun industri itu kekal tidak menentu, justeru mengehadkan jangkaan lebih optimis syarikat.

"PETRONAS akan terus fokus kepada inisiatif transformasi dalaman, pengurusan tunai lebih cekap dan mengoptimumkan kos. Lembaga Pengarah secara umumnya menjangka prestasi pada akhir tahun ini adalah baik," katanya.

Berita Harian X