Jumaat, 25 Ogos 2017 | 9:23pm
ABDUL Latiff (berdiri, tiga dari kiri) menyaksikan pemeteraian MoU di antara SPNB Dana dan MNC Wireless di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

SPNB Dana, MNC Wireless tubuh syarikat usaha sama

KUALA LUMPUR: SPNB Dana Sdn Bhd (SPNB Dana), bahagian pembiayaan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan MNC Wireless Bhd, pakar penyelesaian teknologi digital menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk syarikat usaha sama ekuiti.

Ia bertujuan menyediakan sokongan kewangan untuk pembeli rumah projek perumahan mampu milik SPNB, manakala MNC Wireless dilantik sebagai rakan penyelesaian teknologi kepada SPNB Dana.

Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata ia selari dengan hala tuju transformasi digital syarikat untuk terus meningkatkan aspek pengurusan antara pelanggan dan rakan perniagaan.

Katanya, platform digital baharu itu akan merangkumi perniagaan kepada pengguna (B2C) dan pemilik rumah projek perumahan SPNB, serta platform perniagaan kepada perniagaan (B2B) untuk rakan perniagaan SPNB.

"Matlamat kami adalah membantu rakyat memiliki rumah impian. Usaha sama ekuiti ini mampu merealisasikan hasrat berkenaan dan membolehkan kami untuk terus menyokong pembeli rumah serta mendigitalkan proses perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani MoU antara SPNB Dana dan MNC Wireless hari ini.

Laman web itu dibangunkan dengan navigasi mesra pengguna yang dapat meningkatkan tahap keterbabitan, selain akses lebih cepat dan komprehensif ke atas maklumat projek SPNB.

Setakat ini, SPNB membangunkan 35 projek perumahan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion.

248 dibaca
Berita Harian X