Sabtu, 26 Ogos 2017 | 12:08pm
BAKAT muda Gamuda diberi peluang menyumbang kepada pembangunan negara melalui projek infrastruktur mega seperti MRT. - Foto Zulfadhli Zulkifli
RAJA Eleena (duduk tiga dari kiri) dan Mohammed bersama 33 pelajar terpilih yang menerima biasiswa pada Majlis Penganugerahan Biasiswa GAMUDA 2017 di Menara GAMUDA, Petaling Jaya.. - Foto Asyraf Hamzah

GAMUDA tawar biasiswa kepada 33 pelajar

PETALING JAYA: Gamuda Berhad (GAMUDA) menawarkan biasiswa kepada 33 pelajar terpilih untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di dalam serta luar negara.

Penawaran biasiswa dengan nilai keseluruhan RM4.8 juta itu adalah kesinambungan usaha murni syarikat pembangunan infrastruktur itu sejak 21 tahun lalu dalam usaha menjana modal insan, selain inisiatif pelaburan bakat berpotensi pada masa depan.

Pengerusi GAMUDA, Datuk Mohammed Hussein, berkata jumlah pelajar ditawarkan biasiswa pada tahun ini adalah yang tertinggi sejak syarikat itu mula menawarkan dana pendidikan pada 1996.

Katanya, ia secara tidak langsung membuktikan komitmen GAMUDA dalam bidang pendidikan dan mewujudkan lebih banyak pakar dalam bidang infrastruktur yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Teruskan komitmen

"Walaupun keadaan ekonomi tidak begitu baik berbanding tahun lalu, kami tidak berhasrat mengecilkan komitmen dalam inisiatif ini, sebaliknya mahu terus membantu lebih banyak pelajar berkelayakan melanjutkan pengajian mereka.

"GAMUDA sentiasa fokus dalam sektor infrastruktrur. Pendidikan adalah satu aset penting yang mampu memastikan pembangunan mapan bagi syarikat dan negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Biasiswa GAMUDA 2017 di Menara GAMUDA di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ahli Lembaga Pengarah GAMUDA, Datuk Seri Raja Eleena Sultan Azlan Shah menyampaikan sendiri biasiswa itu kepada semua 33 pelajar terbabit.

Pelajar yang terpilih bukan sahaja melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan, tetapi juga Psikologi, Akaun, Perbankan, Kewangan, Ekonomi, Geologi dan Komunikasi Korporat di beberapa universiti tempatan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sunway University, serta universiti luar negara seperti University of California, Berkeley dan Imperial College, London.

Sejak 21 tahun lalu, seramai 342 pelajar menerima manfaat daripada biasiswa GAMUDA dan melanjutkan pengajian ke universiti tempatan serta luar negara, antaranya di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Ireland, Australia dan Hong Kong, dengan jumlah pelaburan keseluruhan bernilai RM34 juta.

Mohammed berkata, semua penerima biasiswa itu akan bekerja dengan GAMUDA untuk tempoh tertentu, sebelum diberi peluang kekal di syarikat terbabit atau meneroka peluang kerjaya di tempat lain.

Tambah pelaburan

Katanya, GAMUDA mengetepikan cabaran ekonomi dengan menambah pelaburannya dalam aspek pendidikan kerana yakin dengan peluang berterusan dalam sektor pembangunan infrastruktur.

Antaranya, pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) yang pertama di Malaysia iaitu jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 kilometer (km) yang dilancarkan 17 Julai lalu.

GAMUDA akan menyusulinya dengan pembinaan MRT Kedua (MRT-2) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) sepanjang 52.2km yang dijangka siap sepenuhnya pada 2022 serta jajaran MRT Ketiga (MRT-3) yang masih pada peringkat perancangan.

"Kami tidak boleh mengecilkan syarikat apabila keadaan ekonomi tidak memberangsangkan kerana terbabit dalam kerja memerlukan beberapa tahun untuk diselesaikan.

"Baru-baru ini, kami berjaya menamatkan pembinaan MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang dan ia menjadi kenyataan hasil sumbangan daripada pasukan terlatih.

"Kerajaan yakin pada syarikat ini yang mampu menamatkan tugas dalam masa dan peruntukan ditetapkan, malah untuk mengekalkan pencapaian ini, kami sentiasa memerlukan bakat berpotensi tinggi, yang mahu menjadi sebahagian daripada aspirasi pembangunan negara," katanya.

Berita Harian X