Ahad, 3 September 2017 | 5:14pm
Li Chunrong

Spekulasi Li Chunrong ketuai PROTON semakin marak

KUALA LUMPUR: Spekulasi pelantikan tokoh automotif, Li Chunrong untuk mengetuai Proton Holdings Bhd (PROTON) semakin marak selepas beliau dilaporkan sudah menyertai barisan pengurusan kanan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Portal China Automotif Review pada minggu lalu melaporkan, Chunrong, bekas ahli Lembaga Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co Ltd itu secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif PROTON.

Dalam pada itu, satu lagi portal automotif China, Gasgoo melaporkan pada bulan lalu, Dongfeng Automobile kehilangan dua bakat besar iaitu Chunrong dan Che Yanhua, yang mana didedahkan akan menyertai Geely.

"Pada 21 Ogos, difahamkan Chunrong secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat sebagai CEO PROTON," lapor portal berkenaan.

Bagaimanapun, Gasgoo melaporkan, pegawai Geely enggan memberi sebarang komen mengenai spekulasi media.

"Semua berita adalah bergantung kepada pengumuman akhir," kata pegawai berkenaan yang dipetik portal itu.

Chungrong menyertai Dongfeng Automobile pada 1987 dan telah mengendalikan pembangunan bagi kenderaan penumpang Dongfeng selama 10 tahun.

Dalam tempoh 30 tahun dengan Dongfeng Automobile, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah bagi Lembaga Pengarah Dongfeng; Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Yueda KIA Automobile Ltd Co; Pengawal Selia Dongfeng Group dan Pengurus Besar Bahagian Kereta Penumpang Dongfeng.

Beliau juga baru saja dilantik sebagai Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekusif Dongfeng Honda Engine pada Julai.

Geely telah membeli 49.9 peratus pegangan saham dalam PROTON dan 51 peratus ekuiti dalam Lotus Group pada Jun lalu, sekali gus menjadikannya sebagai rakan strategik asing PROTON.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, ketika ditanya mengenai spekulasi berkenaan pada awal bulan lalu, berkata kerajaan tidak campur tangan dalam soal pelantikan individu untuk mengetuai PROTON dan ia terserah kepada Lembaga Pengarah syarikat.

"Kita perlu bersikap terbuka dan perlu melabur untuk mendapatkan bakat. Jika kita terlalu memikirkan sama ada mereka orang luar atau tidak, kita sukar untuk terus maju," katanya.

Beliau menegaskan, PROTON kekal berstatus syarikat Malaysia walaupun melantik warga asing untuk menerajui syarikat itu.

Katanya, tidak timbul isu siapa atau dari mana peneraju syarikat dilantik kerana kini terdapat banyak syarikat tempatan yang memiliki pengurusan kanan daripada warga asing seperti Sime Darby dan Petronas, yang melabur untuk memiliki bakat luar

"Sejajar dengan pasaran terbuka, syarikat Malaysia seharusnya keluar daripada kepompong terlalu fokus kepada bakat tempatan sehingga menyebabkan mereka ketinggalan," katanya.

Berita Harian X