Khamis, 14 September 2017 | 10:40pm
BANGUNAN Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Anak syarikat TNB cadang terbitkan sukuk wakalah RM4 bilion

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) mencadangkan penerbitan sukuk sehingga RM4.0 bilion dalam nilai nominal berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar (Sukuk Wakalah).

TNB, dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, menyatakan Sukuk Wakalah itu akan dikeluarkan secara sekali gus dan akan mempunyai tempoh matang sehingga 20 tahun dari tarikh pengeluaran.

Kadar pengagihan berkala, akan bersifat tetap, akan ditentukan sebelum terbitan setiap tranche sukuk berkenaan.

SPG telah ditubuhkan pada 12 Ogos 2016 sebagai syarikat bertujuan khas bagi pembangunan loji berkuasa turbin gas bertenaga 2 x 720 megawatt di Pasir Gudang, Johor.

Hasil daripada Sukuk Wakalah akan digunakan bagi membiayai sehingga 80 peratus daripada kos keseluruhan projek.

Berdasarkan laporan imbangan TNB yang disatukan berakhir 31 Mei 2017 dan menganggap bahawa jumlah maksimum sebanyak RM4.0 bilion nilai nominal Sukuk Wakalah dikeluarkan, gabungan penggearan TNB akan meningkat daripada 39.8 peratus kepada 42.3 peratus. - BERNAMA

114 dibaca
Berita Harian X