Selasa, 26 September 2017 | 9:02pm
RAYMOND Ma dan Datuk Seri Ivan Teh (kanan) di majlis pengumuman jalinan kerjasama di St Regis Hotel. - Foto Sairien Nafis

Fusionex, Alibaba Cloud pacu transformasi digital ASEAN

KUALA LUMPUR: Penyedia teknologi data tempatan, Fusionex menjalin kerjasama dengan Alibaba Cloud, cabang pengkomputeran awan firma China Alibaba Group bagi menggalakkan transformasi digital dalam negara ASEAN.

Di bawah kerjasama itu, Fusionex dan Alibaba Cloud akan menyediakan penyelesaian teknologi awan industri secara lengkap di rantau berkenaan.

Fusionex memiliki kepakaran dalam Analisis Data Raya (BDA), Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh, berkata di bawah jalinan kerjasama strategik itu, syarikat berkenaan akan menggunakan kepakaran penyelesaian data raya dimilikinya untuk infrastruktur Alibaba Cloud yang amat mantap, berskala serta cekap kos.

"Menerusi infrastruktur pengkomputeran dan perkhidmatan risikan data sofistikated Alibaba Cloud yang merangkumi pemprosesan data sehinggalah pembelajaran mesin, syarikat ini akan dapat menawarkan penyelesaian data raya kepada pelanggan, terutama dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, kemudahan perdagangan e-dagang, penerbangan dan pengembaraan," katanya.

Teh berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan jalinan kerjasama itu di sini, hari ini.

Beliau turut menyifatkan kerjasama berkenaan langkah menarik dalam usaha merealisasikan matlamat syarikat memperkasakan teknologi sedia ada dan memperhebatkan lagi jangkauannya.

"Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Alibaba Cloud bagi menyokong transformasi digital negara ASEAN.

"Perkhidmatan awan Alibaba Cloud yang sofistikated dan teknologi data Fusionex mampu saling melengkapi dan mewujudkan sinergi bagi perkhidmatan kami kepada pelanggan. Ia juga membolehkan mereka untuk melaksanakan usaha berkaitan pada kadar lebih pantas," katanya.

Teh berkata syarikat itu juga akan menyertai usaha memacu inovasi dalam BDA, pembelajaran mesin, AI dan IoT serta membangunkan teknologi dan platform untuk melonjakkan transformasi digital rantau berkenaan.

Sementara itu, Ketua Teknologi Awan Alibaba Cloud bagi ASEAN, Australia dan New Zealand, Raymond Ma, berkata kedua-dua firma itu berkongsi matlamat sama untuk membangunkan generasi seterusnya dalam teknologi serta memperkasakan pelanggan dengan pemacu perubahan.

"Ketika dunia memasuki era baharu transformasi digital, perniagaan ASEAN sebaliknya memerlukan paras sokongan baharu untuk meninjau peluang yang wujud.

"Pembelajaran mesin dan pengkomputeran awan yang digabung bersama analisis data raya, akan memainkan peranan penting sebagai infrastruktur pengkomputeran," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X