Jumaat, 29 September 2017 | 11:19am
Li Chunrong

PROTON lantik Li Chunrong CEO PONSB

SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd melantik Dr Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), berikutan peletakan jawatan Datuk Ahmad Fuaad Kenali esok.

Li akan menjadi CEO PONSB berkuat kuasa Ahad ini.

Beliau mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri automotif dan mempunyai pengalaman bekerja dengan jenama utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai jawatan tertinggi.

Li bakal bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi PROTON, membabitkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti, penyelidikan dan pembangunan, penjualan serta pemasaran.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif semasa, Datuk Radzaif Mohammed akan menyokong Li dan bersama-sama mengetuai pelan pemulihan untuk PROTON.

Syarikat induk PROTON, DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) hari ini mengesahkan struktur baharu Lembaga Pengarah dan sebahagian pasukan eksekutif bagi PROTON dan syarikat berkaitannya.

Profil

Li Chun Rong

Umur: 53 tahun.

Jawatan sebelum ini: Pengarah dan Naib Eksekutif Pengurus Besar, Dongfeng Honda Engine Company,

1987 - menyertai Dongfeng Automobile. Timbalan Pengarah Lembaga Pengarah Dongfeng Automobile Co Ltd

2002 - Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Yueda Kia Motors Co Ltd. Penyelia Dongfeng Automobile Group Company

2007 - Pengurus Besar syarikat kenderaan penumpang Dongfeng

Berita Harian X