X
Rabu, 11 Oktober 2017 | 2:35pm

Dana Engineering bekal 6 enjin gas kepada CGE

KUALA LUMPUR: General Electric (GE) mengumumkan rakan salurannya, Dana Engineering Sdn Bhd, akan membekalkan enam enjin gas Jenbacher Type 4 bagi projek biogas Concord Green Energy Sdn Bhd (CGE).

Ketua Pegawai Eksekutif CGE, Datuk Khairuddin Mohd Hussin, berkata kerjasama kedua-dua pihak membolehkan pihaknya menjana tenaga elektrik hasil daripada sisa kilang minyak sawit milik FELDA.

"Kami yakin enam enjin gas ini akan memberi manfaat kepada pelanggan dengan pembekalan tenaga yang lebih berkesan dan dipercayai.

"Daripada membuang sisa minyak sawit, kita boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang berguna iaitu menghasilkan tenaga elektrik," katanya pada sidang media sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama di sini, hari ini.

Kontrak ditandatangani oleh Pengarah Kanan Dana Engineering, Kazi Hassan Shariff dan Khairuddin sambil disaksikan Pengerusi Eksekutif Concord, Tan Sri Mohd Hussin Abd Hamid serta Ketua Jualan GE Distributed Power, Rudolf Aritonang.

Khairuddin berkata, projek berkenaan bernilai sehingga RM50 juta bagi empat kilang dengan dua di Pahang dan dua di Johor.

Sementara itu, Aritonang berkata, projek berkenaan akan menjana kira-kira 5.6 megawatt (MW) tenaga kepada empat kilang kelapa sawit berkenaan.

"GE memiliki lebih 4,000 enjin gas yang sudah beroperasi dalam sektor biogas seluruh dunia dan membekalkan kira-kira 300MW di rantau ASEAN.

"Dalam sektor ini, enjin Type 4 mempunyai purata kebolehupayaan sehingga 98 peratus, sekali gus memastikan pengguna akhir kami mampu menghasilkan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui ini," katanya.

CGE mula bekerjasama dengan FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada 2015 untuk membina dan menyelenggara loji biogas terpilih milik FGV lengkap dengan kemudahan tenaga bagi tempoh 16 tahun.

INFO

* FELDA memiliki 69 kilang sisa sawit di seluruh negara

Berita Harian X