Rabu, 18 Oktober 2017 | 6:39pm

Mitsubishi sasar peningkatan jualan 30 peratus

TOKYO: Mitsubishi Motors Corp merancang untuk meningkatkan jumlah jualan dan pendapatan sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Ia juga mengumumkan akan memperuntukkan lebih banyak untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), dalam usaha pembuat kereta itu berkembang di Amerika Syarikat dan China.

Ketika mengumumkan pelan jangka pertengahannya menjelang Mac 2020, pembuat kenderaan ketujuh terbesar Jepun itu berkata, ia menyasarkan untuk meningkatkan jualan global tahunan kepada 1.3 juta kenderaan.

Selain itu, meningkatkan keuntungan operasinya kepada 6.0 peratus atau lebih 0.3 peratus.

Mitsubishi turut menjangkakan untuk meningkatkan perbelanjaan modal tahunan sebanyak 60 peratus kepada 137 bilion yen (RM5.14 bilion) atau 5.5 peratus daripada jualan tahunan dan pelaburan R&D sebanyak 50 peratus kepada 133 bilion yen (RM4.99 bilion).

Pelan jangka pertengahan itu adalah yang pertama sejak rakannya, Nissan Motor Co Ltd membeli saham tahun lalu selepas Mitsubishi mengakui melebihkan bacaan ekonomi bahan bakar pada beberapa model domestik.

"Kami akan membina semula kepercayaan syarikat kami sebagai keutamaan, melancarkan kenderaan baharu dan mencapai pemulihan kewangan.

"Ini akan menjadi asas bagi pertumbuhan mampan yang akan datang, yang membabitkan peningkatan perbelanjaan modal dan pembangunan produk kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi, Osamu Masuko dalam satu kenyataan.

Pembuat kereta itu juga menyasarkan penjimatan kos lebih 100 bilion yen (RM3.75 blion) dalam tempoh tiga tahun disokong oleh kecekapan pembangunan dan perolehan yang dibuat selepas menjadi ahli gabungan automasi Nissan dan Renault SA.

Dalam usaha mengembangkan penguasaan pasaran di AS dan Asia, Mitsubishi akan melancarkan 11 model dalam tempoh tiga tahun, termasuk kenderaan utiliti sukan kompak Eclipse Cross (SUV) yang mula diperkenalkan di Eropah bulan ini dan kenderaan pelbagai guna Xpander yang dilancarkan lebih awal tahun ini. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X