Khamis, 19 Oktober 2017 | 9:37pm

TPSB meterai MoU jadi kontraktor siap guna SPNB

KUALA LUMPUR: Trive Property Sdn Bhd (TPSB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Meriah Sdn Bhd (TMSB) sebagai kontraktor siap guna bagi projek pembangunan perumahan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) di Kuala Lumpur.

TPSB adalah anak syarikat milik penuh Trive Property Group Bhd.

Dalam kenyataan, TPSB berkata, nilai pembangunan kasar projek itu adalah RM1.1 bilion dan ia sudah memperoleh surat hasrat daripada SPNB Aspirasi Sdn Bhd untuk membentuk syarikat usaha sama (JVCo).

TMSB akan memegang pegangan saham yang besar dalam JVCo.

Projek itu akan terdiri daripada kondominium kediaman/menara pangsapuri (1,775 unit) dan runcit/komersial (50 unit).

Ia berdekatan dengan Desa Park City, Country Heights, Damansara, Mont Kiara dan Taman Tun Dr Ismail, antara lainnya.

"Pembangunan bercampur rumah mampu milik SPNB membawa berita gembira tepat pada masanya, terutama dengan harga rumah di Malaysia yang meningkat dengan ketara sejak 2012.

"Kami berbangga menyokong inisiatif kerajaan dalam membina rumah untuk rakyat dan pada masa sama, mempunyai peluang untuk memaksimumkan nilai pemegang saham kumpulan," kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Trive Property, Kua Khai Shyuan.

SPNB Aspirasi adalah anak syarikat milik penuh SPNB, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan, di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan. - BERNAMA

196 dibaca
Berita Harian X