Selasa, 24 Oktober 2017 | 5:53pm
Ketua Pegawai Eksekutif MNC Wireless, Christopher Tan.

Usaha sama SPNB Dana, MNC Wireless

KUALA LUMPUR: SPNB Dana SB (SPNB Dana), unit pembiayaan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan pakar penyelesaian teknologi digital, MNC Wireless Bhd, memeterai Perjanjian Langganan dan Pemegang Saham (SSA) bagi membentuk syarikat usaha sama ekuiti (JVCO).

Menerusi terma SSA itu, JVCO dibentuk dengan SPNB-Dana menguasai 70 peratus pegangan saham manakala MNC Wireless menguasai 30 peratus baki pegangan.

Kerjasama itu menandakan bermulanya hubungan pertumbuhan jangka panjang antara SPNB dan MNC Wireless apabila kedua-dua syarikat menyertai revolusi industri 'fintech' melalui pelan induk transformasi digital SPNB bagi menjadikan rumah lebih mampu milik untuk rakyat.

MNC Wireless merancang melaksanakan proses pendahuluan tunai melalui terbitan hak dengan waran percuma bagi menjana sehingga RM20 juta untuk melanggan saham keutamaan boleh tebus (RPS) JVCO berkenaan.

Ia bagi membolehkan SPNB Dana menyediakan pembiayaan jangka pendek bayaran pendahuluan kepada pembeli rumah yang layak bagi projek perumahan yang dimajukan oleh SPNB dan kumpulan syarikatnya.

M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat prinsipal urus niaga itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MNC Wireless, Christopher Tan, berkata syarikat amat gembira dengan penubuhan JVCO itu kerana perniagaannya akan berkembang sejajar dengan bertambahnya projek yang dibangunkan oleh SPNB.

"Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion ketika ini, SPNB terus menyokong agenda nasional menjadikan perumahan mampu milik untuk rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 28 Ogos lalu, MNC Wireless memeterai Perjanjian Bersyarat bersama mTouche Technology Bhd, sebuah syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk membangunkan platform teknologi kepada SPNB Dana.

Ia sejajar dengan pelan induk transformasi digital SPNB, bagi meningkatkan pengurusan hubungan pelanggan dan rakan perniagaannya.

176 dibaca
Berita Harian X