Khamis, 2 November 2017 | 1:40pm

Facebook catat keuntungan besar

SAN FRANCISCO: Facebook mencatatkan keuntungan berlipat ganda pada suku ketiga tahun ini, hasil peningkatan pendapatan iklan dalam talian.

Ia sekali gus mengatasi unjuran yang dibuat oleh pelabur dan mengukuhkan harga sahamnya ke paras tertinggi dalam sejarah.

Rangkaian media sosial terbesar itu melaporkan keuntungan AS$4.7 bilion (RM19.8 bilion) pada suku berakhir 30 September 2017, meningkat 79 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Ketua Eksekutif, Mark Zuckerberg dalam kemas kini statusnya menjelaskan kritikan terhadap Facebook kerana membenarkan maklumat salah dan manipulasi semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016, beberapa jam selepas peguam utama syarikat berdepan soalan pada pembicaraan kongres di Washington.

"Komuniti kami terus berkembang dan perniagaan syarikat mencatatkan prestasi baik," kata Zuckerberg.

"Namun, semua itu tidak penting jika perkhidmatan kami digunakan dengan cara yang tidak membolehkan orang ramai berhubung lebih rapat. Kami serius mengelakkan penyalahgunaan platform ini.

"Kami membuat pelaburan besar dalam aspek keselamatan sehingga memberi impak kepada keuntungan syarikat. Melindungi komuniti kami adalah lebih penting berbanding memaksimumkan keuntungan," katanya.

Saham Facebook semalam ditutup meningkat 1.4 peratus kepada AS$182.66 namun susut selepas dagangan dibuka hari ini kepada AS$179.25.

Minat pelabur terhadap saham Facebook mungkin berkurangan disebabkan kenaikan kos yang ditanggung oleh gergasi Internet berpangkalan di California itu dan beberapa eksekutifnya menegaskan bahawa syarikat itu sedang dalam 'mod pelaburan' sambil meramalkan pertumbuhan iklan akan berkembang perlahan.

"Mereka menjana keuntungan besar, namun siasatan Russia benar-benar membayangi segala-galanya pada masa ini," kata penganalisis bebas, Rob Enderle.

Penganalisis itu menambah, beberapa pelabur mungkin bimbang bahawa siasatan terhadap campur tangan Russia ke atas politik AS akan menyebabkan kawal selia ke atas rangkaian sosial sehingga boleh menjejaskan keuntungan.

Perbelanjaan Facebook meningkat kepada AS$5.2 bilion (RM21.9 bilion) berbanding AS$3.9 bilion (RM16.5 bilion) pada suku sama tahun lalu.

Jumlah kakitangan syarikat pula meningkat 47 peratus kepada 23,165 orang.

"Kami akan terus melabur dengan agresif dalam pelbagai peluang yang dilihat pada masa depan," kata Ketua pegawai Kewangan Facebook, David Wehner dalam satu panggilan bersama penganalisis.

Zuckerberg menggariskan beberapa keutamaan pelaburan termasuk isi kandungan video, yang dikatakannya sebagai trend terbesar di Facebook.

Jumlah pengguna aktif bulanan di rangkaian sosial itu terus bertambah, mencecah 2.07 bilion, meningkat 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengiklanan daripada telefon pintar atau tablet merangkumi kira-kira 88 peratus pendapatan yang dijana oleh pemasaran pada suku dikaji, kata Facebook. - AFP

508 dibaca
Berita Harian X