Isnin, 6 November 2017 | 5:44pm

AirAsia X ke Jaipur

KUALA LUMPUR: AirAsia X akan memulakan penerbangan terus dari sini ke Jaipur, ibu kota Rajasthan, India, dengan penerbangan empat kali seminggu bermula 5 Februari 2018.

AirAsia X dalam satu kenyataan berkata, ia memulakan laluan itu dengan tambang terangkum promosi daripada serendah sehingga RM229 bagi tempat duduk ekonomi dan RM699 sehala bagi tempat duduk Premium.

Tempahan di airasia.com bagi tempoh perjalanan antara 5 Februari 2018 hingga 21 November 2018 sudah dibuka.

"Kami berharap ia akan menyediakan hubungan yang lebih baik bagi pengunjung perniagaan dan liburan untuk datang ke destinasi Asia Tenggara," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun.

India, katanya, pasaran sangat penting kepada syarikat penerbangan itu dan ia akan terus mengembangkan perkhidmatannya ke bandar utama di India termasuk ke bandar kecil, terutama yang tidak memiliki hubungan yang baik.

AirAsia X syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh pertama terbang terus dari Kuala Lumpur ke Jaipur, yang dikenali sebagai "Pink City," susulan kejayaan pelancaran laluan Bangkok-Jaipur, pada September tahun ini yang dikendalikan syarikat penerbangan sekutu jarak jauhnya, AirAsia Thailand.

"Kami memuji AirAsia atas usahanya menyediakan hubungan dipertingkatkan antara India dan Malaysia, dan membuka laluan ke Negeri Rajasthan, syurga pelancong. Kami yakin hubungan ini akan memberi manfaat kepada pelancong dari kedua-dua negara dan menyediakan potensi dalam bidang pelancongan dan perniagaan," kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T S Tirumurti.

Jaipur, katanya, satu daripada bandar paling cantik dan indah di India.

"Selain menjadi ibu kota Rajasthan, Jaipur juga bandar terbesar di negeri itu dan bandar raya terancang pertama di India," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X