Rabu, 8 November 2017 | 7:02pm

Penyelesaian digital di RHB

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd melancarkan dua penyelesaian digital, RHB MyHome App dan perkhidmatan Banking-at-Your-Doorstep.

Perkhidmatan itu menawarkan pengalaman perbankan yang mudah, cepat dan lancar terutama kepada pelanggan yang mahir dalam digital.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata RHB MyHome App menyediakan kemudahan aplikasi gadai janji dan penyerahan dokumen menerusi peranti mudah alih.

Katanya, perkhidmatan Perbankan-at-Your-Doorstep pula membolehkan pelanggan yang membuka RHB Smart Account/RHB Smart Account-i melengkapkan proses dalam talian tanpa perlu mengunjungi cawangan bank.

Beliau berkata, perkhidmatan RHB MyHome App dan perkhidmatan Banking-at-Your-Doorstep berpotensi besar untuk mendorong pertumbuhan perniagaan.

Katanya, RHB menjangkakan membuka lebih 50,000 RHB Smart Account/RHB Smart Account-i pada 2018, dengan 30 peratus daripada pemohon dijangka memilih perkhidmatan Banking-at-Your-Doorstep.

"Aplikasi RHB MyHome dan Banking-at-your-Doorstep mendekatkan lagi kami ke arah pencapaian aspirasi digital.

"Perkhidmatan ini juga akan meningkatkan keupayaan digital kami di semua saluran pengedaran, yang membolehkan kami menjadi lebih responsif terhadap keperluan pelanggan dengan masa pusing ganti yang lebih pantas," katanya dalam satu kenyataan.- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X