Khamis, 16 November 2017 | 9:00pm

CIMB dapat kelulusan buka cawangan di Filipina

KUALA LUMPUR: CIMB Group mengumumkan anak syarikatnya, CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) sudah mendapat kelulusan daripada Lembaga Monetari Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) untuk membuka cawangan di Filipina.

Cawangan runcit pertamanya itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku keempat 2018.

Berikutan liberalisasi sektor perbankan pada 2014, CIMB Bank adalah kumpulan perbankan Malaysia pertama mendapat kelulusan BSP untuk beroperasi di bawah Akta Republik No 10641, akta yang membenarkan kemasukan bank asing ke Filipina menerusi penubuhan operasi anak syarikat dengan kuasa perbankan penuh.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata pihaknya gembira menerima lampu hijau daripada Bangko Sentral ng Pilipinas.

Beliau berkata, pautan yang ditunggu-tunggu untuk melengkapkan jejak ASEAN ke-10 CIMB kini menjadi kenyataan.

"Ini akan terus mendorong CIMB menjadi bank universal ASEAN terkemuka, yang akan mengukuhkan lagi nilai kami kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Filipina menawarkan peluang yang besar dengan peraturan progresif, demografi yang menarik, penembusan perbankan yang agak rendah dan bakat yang baik.

Beliau berkata, strategi kumpulan perbankan itu akan melihat pihaknya menggunakan aset digital terbaiknya merentasi rantau itu dan bekerjasama dengan rakan strategik utama di negara itu.

Berita Harian X