Khamis, 16 November 2017 | 9:00pm

SP Setia kekal sasaran jualan RM4b tahun depan

SHAH ALAM: Pemaju hartanah, SP Setia Bhd mengekalkan sasaran jualannya sebanyak RM4 billion untuk 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khor Chap Jen, berkata pihaknya memperoleh RM2.82 bilion jualan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2017 yang berakhir 30 September.

"Banyak perkara perlu dilakukan dalam dua bulan terakhir tahun ini dan kami mahu memberi tumpuan kepada sasaran RM4 bilion, seterusnya memastikan bahawa jualan 2018 tidak akan berada di bawah nilai 2017," katanya selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat itu, di sini hari ini.

Beliau berkata, projek tempatannya menyumbang RM1.66 bilion atau 59 peratus daripada jaminan jualan bagi tahun kewangan 2017, manakala projek antarabangsa merangkumi RM1.16 bilion atau 41 peratus daripada jumlah jualan.

Daripada pecahan tempatan, sebanyak RM1.17 bilion datang dari kawasan tengah, sementara wilayah selatan dan utara menyumbang sebanyak RM495.6 juta.

Katanya, di peringkat luar, projek Sapphire By The Gardens di Melbourne, Australia terus berprestasi di luar jangkaan dengan kadar ambilan yang kukuh sebanyak 83 peratus, berjumlah RM871.7 juta dalam tempoh empat bulan sejak ia dilancarkan.

Di samping itu, projek Battersea Power Station di United Kingdom menyumbang RM149.2 juta, manakala projek di Singapura dan Vietnam menyumbang RM89.4 juta.

"Walaupun jumlah jualan yang dicapai adalah dalam jangkaan yang ditetapkan, pasaran tempatan terus lemah dan permintaan yang kukuh hanya datang daripada produk dan lokasi tertentu.

"Bagaimanapun, kami berasa sukacita apabila melihat permintaan pasaran antarabangsa mula bertambah, ditunjukkan oleh nilai jualan sembilan bulan semasa yang lebih tinggi mengatasi jualan dua belas bulan tahun lalu," katanya.

Sementara itu, hasil dan keuntungan sebelum cukai bagi tempoh kewangan berakhir pada 30 September 2017, masing-masing sebanyak RM2.58 bilion dan RM667.7 juta.

Secara keseluruhannya, SP Setia menjangkakan projek antarabangsanya akan memberi sumbangan yang lebih kukuh dan ia kekal optimistik untuk sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan semasa.

Melangkah ke hadapan, SP Setia akan memberikan tumpuan kepada pelancaran hartanah berharga sederhana di Lembah Klang.

Dalam perkembangan lain, syarikat itu berkata pihaknya memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat untuk memperoleh I&P Group Sdn Bhd pada harga RM3.65 bilion, dijangka diselesaikan pada suku keempat tahun kewangan 2017.

Selepas siap, I&P Group akan menjadi anak syarikat SP Setia dan jumlah simpanan tanah syarikat akan bertambah kepada 3,909.26 hektar, menjadikan SP Setia Malaysia sebagai pemaju hartanah ketiga terbesar dari segi simpanan tanah.

Kumpulan mempunyai jumlah jualan yang belum dibilkan sebanyak RM7.05 bilion, berdasarkan kepada 31 projek yang sedang dijalankan. - BERNAMA

Berita Harian X