;
Jumaat, 17 November 2017 | 8:09pm
Pengurus Pemasaran dan Jualan Dewina Trading, Mohamad Fazil Othman memengang produk makanan daripada Brahim's. - Foto Rosela Ismail

Brahim's perluas produk

KAJANG: Kumpulan Brahim's Dewina, pengeluar produk makanan sedia dimakan (MRE) dan katering industri, merancang meneroka pasaran makanan aktiviti lasak di negara ini menerusi kerjasama dengan 50 kedai menjual aktiviti luar.

Pengurus Pemasaran Dewina Trading Sdn Bhd, Mohamad Fazil Othman, berkata strategi itu bertujuan untuk menggalakkan penerokaan produk Brahim's Adventure Pack One Meal atau pek makanan pengembaraan terbaharunya di pasaran tempatan.

Katanya, dengan meletakkan produk pek pengembaraan itu tepat pada tempatnya pihaknya yakin sasaran jualan RM1 juta untuk 2018 dapat dicapai walaupun pek pengembaraan terbabit memiliki pasaran yang khusus.

"Pek pengembaraan Brahim's Adventure Pack One Meal sudah pun dipasarkan di Brahim's Shoppe yang terletak di kilang Brahim's Bandar Baru Bangi bermula minggu ini.

"Kami akan membuat pelancaran pek pengembaraan ini dalam masa terdekat dan memperkenalkan senarai kedai aktiviti luar yang turut mengedarkan produk kami, pengguna yang mahukan pek ini hanya perlu melayari laman web Brahim's untuk senarai pengedar.

"Selain kedai aktiviti luar, kami juga mendapat maklum balas serta permintaan menggalakkan daripada persatuan pendaki dan pengembara yang mahukan kami membekalkan produk rangsum terbabit sebagai bekalan makanan aktiviti mereka," katanya kepada BH di sini, baru-baru ini.


Ketua Komunikasi Dewina Holdings Sdn Bhd, Azizah Wahid (kiri) bersama Pengurus Jualan dan Pemasaran Dewina Trading Sdn Bhd, Mohamad Fazil Othman (tengah) serta Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Produk Runcit Pengguna Auric Chun Yip Sdn Bhd, Richard Chee menunjukkan produk dan hasil masakan menggunakan produk Brahim's sempena majlis pelancaran produk berkenaan di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Mengulas lanjut, Mohamad Fazil, berkata kerjasama dengan kedai aktiviti luar turut memberi ruang kepada Brahim's mengetengahkan produk komersial makanan sedia dimakan yang lain termasuk produk nasi sedia dimakan dan lauk sedia dimakan.

Katanya, produk yang terdapat dalam pek pengembaraan turut tersedia sebagai produk komersial berasingan, termasuk Nasi Goreng Kampung, Nasi Briyani, Kari Ayam dengan Kentang dan Kari Daging seperti yang ditemui di pasar raya besar seluruh negara.

"Pek ini dijual pada harga RM32, mungkin menyamai tiga pek nasi sedia dimakan. Uniknya pek ini lengkap makanan seharian pengguna bagi tiga makanan berat iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam, disertakan bersama snek makan petang iaitu bubur pulut hitam, biskut, jem, dan set minuman.

"Pengguna yang pergi mengembara atau mendaki hanya perlu mengira jumlah hari mereka sepanjang aktiviti dan mengambil pek pengembaraan ini mengikut jumlah hari berkenaan, jika tiga hari bermakna tiga pek sudah memadai," katanya.

INFO: Brahim's Adventure Pack One Meal
- Pek makanan pengembaraan : 24 jam
- Harga : RM32
- Keperluan nutrisi/tenaga : Seorang, aktiviti lasak

3 jenis Pek pengembaraan:
* Set satu hidangan
* Set hidangan ayam
* Set hidangan daging

Kandungan:
* Sarapan: Nasi Goreng Brahim's
* Makan tengah hari: Nasi putih, Rendang Daging Brahim's
* Minum petang : Bubur pulut hitam
* Makan malam; Nasi Putih, Kari Ayam Brahim's
* Snek: biskut dan jem
* Minuman: kopi, teh, gula, krimer
* Tisu, sudu dan garpu.

623 dibaca
Berita Harian X