Ahad, 19 November 2017 | 6:31pm
NOR Jalilah bersama Pengarah Pembangunan Emperor Secure Management Sdn Bhd, Daniel Danish Lok Abdullah.

Syarikat sasar jualan 300 unit sebulan

SERI KEMBANGAN: Emperor Secure Management Sdn Bhd, pengilang pagar automatik dan sistem keselamatan menyasarkan jualan 300 pagar lipat tanpa tayar dan trek pada suku pertama tahun depan.

Pengarahnya, Nor Jalilah Abdul Jalil, berkata pihaknya yakin jumlah jualan sistem pagar canggih dikenali sebagai Emperor Gate itu mampu dicapai kerana syarikat sedang berusaha meningkatkan jumlah pengedar, termasuk melebarkan sayap ke setiap negeri.

Katanya, buat masa ini siri pagar lipat tanpa tayar dan trek yang didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu hanya mempunyai dua pengedar didaftar di Lembah Klang dan satu di Melaka. 

Beliau berkata, syarikat juga sedang berusaha mengembangkan pasaran ke luar negara, khususnya Eropah.

"Kilang kami mampu mengeluarkan sehingga 300 pagar sebulan dan komited untuk meningkatkan pengeluaran, memandangkan produk itu mendapat permintaan tinggi sejak mula diperkenalkan awal tahun ini.  

"Sehingga kini, antara negara sudah berjaya ditembusi ialah Indonesia, Kemboja serta Iraq. Kami berhasrat melebarkan lagi sayap perniagaan ke pasaran antarabangsa.    

"Syarikat giat mempromosikan sistem pagar canggih ini supaya dapat menarik lebih ramai usahawan untuk menjadi pengedar dan mencapai sasaran," katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Nor Jalilah berkata, penggunaan pagar lipat tanpa tayar dan trek itu memberikan kemudahan kepada pelanggan, selain penggunaan buatan tahan lasak dan mudah urus. 

Katanya, rekaan pagar yang sesuai dengan semua jenis cuaca itu juga memberikan jaminan keselamatan dan ketahanan sehingga 10 tahun berbanding pagar automatik biasa di pasaran. 

"Pagar ini tidak menggunakan roda yang perlu diselenggara setiap empat bulan untuk memastikan ia berfungsi, selain landasan pagar mudah bengkok. 

"Penggunaan pagar lipat tanpa landasan ini juga mampu menanggung berat sehingga 35,000 kilogram (kg), iaitu tahan lasak 300 kali ganda dari yang biasa digunakan," katanya.

Beliau berkata, siri pagar lipat tanpa tayar dan trek boleh itu didapati dari saiz ekonomi ke premium bergantung kepada keluasan rumah. 

"Menariknya mengenai siri pagar lipat ini, ia juga boleh ditempah khas mengikut rekaan pilihan pelanggan memandangkan kami mempunyai kilang sendiri. 

"Tempahan dan pemasangan bagaimanapun mengambil masa sebulan bergantung pada rekaan, saiz dan keluasan ditempah pelanggan," katanya.

347 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »